Pas tidak letak calon, bantu jentera pilihan raya BN

Pas tidak letak calon, bantu jentera pilihan raya BN

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat membuat keputusan tidak akan meletakkan Calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun N24 Semenyih pada tarikh yang akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat parti yang diadakan semalam seperti dimaklumkan Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan hari ini.

Datuk Takiyuddin Hassan

Dengan keputusan ini maka Pas akan memberikan laluan kepada Wakil  Pembangkang iaitu Barisan Nasional (BN) yang memperolehi sokongan undi yang lebih besar dalam PRU 14 yang lalu.

“Pas mengharapkan Pilihan Raya Kecil ini menghasilkan keputusan yang akan menguatkan Wakil Pembangkang, terutama dalam Dewan Undangan Negeri Selangor.

“Dengan itu maka proses semak dan imbang (check and balance) yang dimainkan oleh Pembangkang yang konstruktif akan memberikan kebaikan kepada rakyat Negeri Selangor khususnya,” ujar kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, Pas akan menggerakkan jentera pilihan raya setempat untuk membantu pihak Pembangkang dalam menghadapi PRK ini.

“Pas juga akan menyeru dan mengarahkan ahli-ahlinya di kawasan ini supaya turun membuang undi sebagaimana pendirian Parti bagi memberi sokongan kepada Calon yang mewakili Pembangkang nanti,” ujar kenyataan.

PRK Semenyih bakal diadakan susulan kematian penyandangnya Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor,57 kerana serangan jantung. Beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kajang pada jam 4.435 petang, 11 Januari lepas.

Bakhtiar Mohd Noor, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), menjadi wakil rakyat di Semenyih selama lapan bulan selepas mengalahkan penyandang kerusi, Datuk Johan Abd Aziz, daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu dengan majoriti 8,964 undi.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Bersatu Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.