Malaysia Dateline

Pas tidak mahu terkhilaf, kata Takiyuddin

Susulan tindakan ADUN Pas yang tidak menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, di Istana Kinta, Ipoh yang dijadualkan pada sebelah petang, semalam, Datuk Takiyuddin Hassan tampil memberi alasan.

Setiausaha Agung Pas itu dalam satu kenyataan malam tadi menegaskan Pas adalah parti yang sentiasa menghormati dan menjunjung kedaulatan institusi beraja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkenaan berkata, Pas juga sentiasa memastikan selayaknya sebarang urusan yang berkaitan dengan institusi diraja perlu ditekuni dengan penuh teliti dan beradab.

“Adapun dalam hal kehadiran ke Istana Perak, disebabkan Pas tidak mahu terkhilaf dalam membuat keputusan terutama jika ia bersabit dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan.

“Maka Pas mengarahkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas untuk hadir ke istana setelah menerima titah menghadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Perak,” katanya.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, Pas akan berusaha dan berikhtiar bersama rakan parti Perikatan Nasional (PN) untuk menyelesaikan kemelut politik Perak secara berhemah dan terbaik demi masa depan agama, bangsa dan negara.

Semalam, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang juga ADUN Gunong Semanggol berkata, keputusan pembatalan ADUN dari parti itu untuk menghadap Sultan dibuat atas arahan pucuk pimpinan parti.

Selain Razman, dua lagi ADUN Pas yang dijadualkan menghadap Sultan pada jam 3 petang semalam ialah Mohd Akmal Kamaruddin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah).

Penyokong tegar Pas kemudiannya dilihat cuba mempertahan tindakan kepimpinan mereka yang membatalkan rancangan menghadap Sultan itu dengan menggunakan alasan “bila-bila masa” sahaja boleh berbuat demikian.

Namun, Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini ketika memaklumkan titah Sultan pada sidang media di hadapan perkarangan Istana Kinta semalam menyebutkan untuk ADUN Pas menghadap pada “bila-bila masa hari ini” iaitu sepanjang semalam sahaja.