Malaysia Dateline

Abdul Hadi Awang 1

Pas tidak mengenang budi Raja-raja Melayu

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah menyelar Pas sebagai angkuh apabila menolak titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah untuk datang menghadap.

Beliau berkata, budaya wala’ terhadap pemimpin parti sendiri telah ditanam begitu lama dan mendalam sehingga mengatasi taat setia kepada perintah Sultan.

“Adakah Pas lebih wala’ pada pimpinan politik mereka dari taat pada titah Sultan sebagai ketua Agama negeri? Itulah pemikiran Pas hari ini di mana pemikiran pengikut di manipulasi.

“Adakah Pas mengikut konsep kerajaan Melayu Islam sebenarnya seperti dilaungkan? Di mana Melayunya jika tidak beradat menolak jemputan Sultan sendiri dengan angkuh?

“Apa salahnya sebagai menghormati Sultan ketua Agama Islam Perak mereka pergi menghadap di atas titah jemputan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama beliau berkata, Pas bukan sahaja tidak menghormati pengundi bahkan juga memperlihatkan sikap tidak menghormati raja sendiri.

Terdahulu, ADUN Pas tidak menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, di Istana Kinta, Ipoh yang dijadualkan pada sebelah petang, semalam.

Tiga ADUN parti itu sepatutnya mengadap baginda pada jam 3 petang.

Mereka terdiri daripada Razman Zakaria (Gunong Semanggol); Mohd Akmal Kamaruddin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah).

Razman yang juga Pesuruhjaya PAS Perak, berkata keputusan pembatalan itu dibuat atas arahan pucuk pimpinan parti.