Malaysia Dateline

Pas tidak pernah lancar kempen boikot produk bukan Islam, kata Tuan Ibrahim

Parti Islam Se-Malaysia (Pas) hari ini menegaskan, pihaknya tidak pernah melancarkan kempen boikot produk bukan Islam dan meminta Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhenti memainkan sentimen perkauman sempit.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Setiausaha Agung DAP itu perlu menghormati pilihan bebas daripada pengguna Muslim itu sendiri.

“Kempen mengutamakan produk Muslim adalah kesedaran awal bagi para pengguna Muslim untuk memilih produk yang halal, baik dan diusahakan oleh orang Islam.

“Setiap pengguna mempunyai kecenderungan untuk memilih yang terbaik buat diri mereka. Tidak ada satu paksaan dan lantaran itu, mereka lebih berhati-hati dan bersifat selektif untuk mendapatkan produk yang terbaik,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menggesa kerajaan untuk memantau dan menyekat lambakan produk yang mengelirukan pengguna.

Katanya, kekeliruan kepada pengguna itu adalah seperti menggunakan nama, gambar produk dan logo mirip Islam, tetapi ia dihasilkan oleh bukan Islam, selain penipuan logo halal serta pengeksploitasian wanita dan kanak-kanak dalam pengiklanan.

“Pihak kerajaan hendaklah lebih memfokuskan kepada aktiviti tidak bermoral dalam perniagaan seperti penipuan, monopoli, permainan harga dan ‘black economy’.

“Hal ini lebih serius dan boleh menghancurkan pasaran sehingga memberi kesan besar ke atas pengguna. Tambahan pula, harga barang secara umumnya tidak menunjukkan penurunan walaupun setelah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan,” katanya lagi.

Guan Eng sebelum ini dilaporkan berkata, jika Umno dan Pas tidak menentang bukan Islam dan bukan Melayu, dua parti itu harus mengamalkan pendirian mengecam kempen boikot produk bukan bumiputera yang berlalu ketika ini.

Kenyataan Ahli Parlimen Bagan itu adalah susulan daripada gerakan kempen di media sosial yang menggesa golongan Bumiputera memboikot produk yang dihasilkan oleh bukan Bumiputera.