Malaysia Dateline

Datuk Takiyuddin Hassan

‘Pas tidak pernah terfikir, apatah lagi mohon sertai PH’

Parti Islam SeMalaysia (Pas) hari ini sekali lagi menyatakan pendirian parti itu tidak sesekali menyertai Pakatan Harapan yang digembar-gemburkan selepas pertemuan pimpinan Pas dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas menganggap kenyataan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail semalam, yang dipetik sebagai berkata, ‘tidak perlukan Pas sebagai rakan sekutu’ sebagai kenyataan yang penuh kebimbangan, menggelabah dan tertekan dari PKR.

“Kenyataan beliau menunjukkan kedudukan PH yang tidak stabil dan dalam keadaan berkrisis.

“Selama ini Pas tidak pernah terfikir apatah lagi memohon untuk menyertai PH, sebaliknya akan mengukuhkan lagi kerjasama politik dengan Umno-BN melalui Muafakat Nasional bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.

“kenyataan dibuat oleh komponen PH terhadap Pas akhir-akhir ini adalah ibarat ‘anjing takut bayang-bayang’ dan kami menyatakan ‘biarkan PH terjun dengan labu-labunya, biarkan biarkan’,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau lagi, Pas juga akan terus bersama dengan Umno-BN menjadi Pembangkang yang konstruktif di dalam dan luar Parlimen serta berperanan sebagai Semak dan Imbang terhadap Kerajaan PH.