Pas tidak terliur wang RM90 juta, kata Pesuruhjaya Pas Pahang

Pas tidak terliur wang RM90 juta, kata Pesuruhjaya Pas Pahang

Pas tidak terliur dengan wang RM90 juta, sebagaimana Pas tidak terliur dengan Putrajaya yang tidak melaksanakan Islam, kata Pesuruhjaya Pas Negeri Pahang Rosli Abdul Jabar.

Beliau berkata, jika Pas mahukan redha Allah semua itu tidak bernilai di sisi Allah.

“Kalau dapat duit tidak dapat redha Allah, semua tidak bernilai disisi Allah. Redha Allah bukan boleh jual beli, bukan boleh tebus dengan harta.

“Redha Allah bukan boleh ditinggal kemudian, mesti didahulukan dalam semua urusan sebelum membuat keputusan dan wajib seiring dengan amalan, bodoh sangat kalau orang kata “kita cari Putrajaya dulu, redha kita cari kemudian”, kerana amalan itu bernilai disisi Allah apabila tujuannya kerana menuntut Mardhatillah.

“Jangan ingat redha itu boleh dibeli setelah ada duit banyak, redha bukan barangan di pasar raya, bila ada duit boleh beli, redha juga bukan macam kuasa, apabila memerintah baru dapatkan redha.

“Redha itu mesti bersama dengan semua tindak tanduk kita, tidak kira kita sudah memerintah atau belum memerintah.

“Kalau dapat RM1 tapi bersama redha Allah jauh lebih bernilai daripada RM90 juta atau Putrajaya yang tiada bersamanya keredhaan Ilahi. Redha tidak boleh dibeli walaupun memiliki lebih daripada RM90 juta,” ujarnya seperti dipetik dalam Harakah online hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Lumpur ini juga berkata, Pas tidak peduli semua fitnah cerca apabila pertahankan prinsipnya.

“Redha Allah itu bersama Islam, itulah prinsip perjuangan Pas, sejak dulu hingga kini, tidak ada nilai langsung RM90 juta itu jika mahu ditukarkan dengan prinsip yang Pas pertahankan selama ini.

“Tidak ada orang berjuang dalam Pas kerana nak duit, kalau ada pun tak lama akan duduk dalam Pas, lambat laun akan lari juga tinggalkan Pas sebab yang ditunggu tak kunjung tiba.

“Tidak berbaloi RM90 juta itu dengan pengorbanan ahli, RM90 juta itu bukan bandingan langsung, semua ahli Pas tak pandang semua itu, kecuali orang yang diresapi hatinya dengan hasutan syaitan supaya menjual perjuangannya.

“Pas sudah membayar dengan harga yang tidak ternilai, demi membeli tawaran daripada Allah, bukan sahaja duit malahan nyawa demi perjuangan Islamnya dan kerana menuntut redha-Nya.

“Apalah sangat RM90 juta dan Putrajaya jika dibandingkan dengan redha Allah,” tegasnya.

Sebagai rekod pada 8 Ogos lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa Sarawak Report berbohong kononnya pimpinan tertinggi Pas menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pas katanya tetap bertegas bahawa berita tersebut adalah palsu dan berniat jahat.