Malaysia Dateline

Pas tidak tuntut ketuai kerjasama dengan Umno, kata Abdul Hadi

Pas tidak akan menuntut untuk mengetuai kerjasama politik dengan Umno, melainkan terdapat desakan daripada akar umbi, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kepimpinan Islam bukan mesti daripada Umno dan bukan mesti daripada Pas,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan dasar presiden pada Muktamar Tahunan PasĀ  kali ke-65 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai siapa yang akan mengetuai kerjasama politik itu.

Dalam pada itu, menjawab mengenai gesaan perwakilan supaya Pas berhati-hati dan berwaspada dengan taawun (kerjasama) bersama Umno pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama PasĀ  semalam, Abdul Hadi berkata pihaknya sedar terdapat fobia dalam kalangan anggota kedua-dua parti berdasarkan sejarah politik sebelum ini.

“Kita kena sedar dalam Pas ada yang Umno fobia dan dalam UMNO ada Pasfobia kerana ketegangan di masa lalu yang boleh diselesaikan, ” katanya.

Terdahulu dalam ucapan dasarnya, Abdul Hadi berkata pembahagian kerusi dan pemilihan calon pilihan raya dalam kerjasama politik itu akan diserah kepada Majlis Syura Ulama dan Pas Pusat, dengan mengambil kira pertimbangan fiqh siasah (kefahaman politik) dan strategi politik semasa.

Sementara itu, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut hadir pada muktamar itu, ketika ditemui berkata kerjasama antara UMNO dan PAS belum tiba ke tahap berbincang mengenai pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-15.- BERNAMA