Malaysia Dateline

Pas tolak agenda selamatkan peribadi pemimpin

Selepas memilih untuk bersama Bersatu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu menolak untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang hanya mengutamakan pemimpin dan kumpulannya.

“Pas menolak agenda yang bertujuan semata-mata untuk menyelamatkan peribadi pemimpin dan kumpulannya, bukan untuk menyelamatkan negara dan semua rakyat,” kata Hadi dalam satu kenyataan panjang yang dinamakan Minda Presiden Pas hari ini.

Kenyataan itu dipercayai dibuat selepas Pas mengambil keputusan untuk bersama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) selepas Umno memberikan katadua kepada Pas apabila memutuskan kerjasamanya dengan Bersatu.

Sebelum ini, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bekas presidennya Datuk Seri Najib Razak dan lain-lain digelarkan sebagai ‘kluster mahkamah’ ekoran pelbagai dakwaan yang dikenakan ke atas mereka.

Ekoran itu, mereka didakwa berusaha untuk menyelamatkan diri dengan berunding dengan pelbagai pihak untuk bekerjasama bagi menyelamatkan diri mereka dari semua pendakwaan itu.

Hari ini Hadi berkata Pas menolak agenda untuk selamatkan peribadi pemimpin dan kumpulan mereka.

Menurut Hadi, sejak Pas ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1951 dan memasuki arena politik tanah air, Pas tidak dapat diharamkan melalui tindakan undang-undang dan politik oleh lawan serta musuhnya kerana tidak bertemu apa-apa alasan untuk mengharamkannya.

Kebijaksanaan para pengasas yang memimpin PAS menjadikannya sebuah Harakah Islamiah (Gerakan Islam) yang berdiri atas prinsip aqidah yang kukuh dan bergerak dengan hikmah.

“Alhamdulillah, sehingga kini PAS tidak mengalami krisis yang memerlukan kepada penubuhan sebuah parti baharu sebagai alternatif dan tidak perlu diperbaharui pendaftarannya,” kata beliau walaupun Pas berpecah dua dengan penubuhan AMANAH.

Sebelum ini juga Pas berhadapan dengan ugutan pembatalan partinya ekoran isu nama Islam namun tindakan tidak jadi dilaksanakan.