Malaysia Dateline

Pas tolak Azmin di Gombak

Pas Kawasan Gombak telah memutuskan hanya akan bekerjasama secara politik dengan Umno Gombak atas nama Muafakat Nasional (MN).

Yang Dipertua Pas Kawasan Gombak Salahuddin Mohd Nasir menegaskan perkara itu dan telah memaklumkan kepada Adun Gombak Setia Mohd Hilman Idham pada 11 Mei yang lalu.

Salahuddin Mohd Nasir

“Dan saya telah hantar mesej dan Yb Hilman telah menjawab memahami akan perkara ini,” katanya dalam satu program dialog yang bertajuk ‘Dari mana hendak ke mana?’.

Katanya, Pas Gombak mendapati ada gerakan secara terancang bagi mengganggu gugat kekuatan MN antara Pas dan Umno di kawasan ini.

“Saya menarik perhatian dengan menyatakan kepada ucapan dan tulisan secara terbuka yang diberikan oleh Datuk PJ Negeri Selangor sendiri yang mengingatkan supaya Yb Azmin Ali mesti bertindak secara bijaksana.

“Saya anggap perkara besar yang terjadi di sana yang memberi kesan kepada PN kerana ada sikap-sikap individu yang tidak memanggil mesyuarat.

“Tulisan itu menampakkan ada yang tidak kena dalam PN khususnya gerakan yang dibuat, ada semacam gerakan secara halus.

“Saya dan kawan di Gombak pun tak tahu Azmin ni parti apa? Dia bergerak atas apa?” soalnya.

Justeru, katanya, orang Gombak tidak mampu untuk menerima orang jenis banyak muslihat ianya sebagaimana nasib yang diterima Tan Sri Khalid Ibrahim walaupun jujur dalam pentadbiran.

“Dia boleh turun di Gombak, turun dengan duit yang banyak, orang menteri tidak ada masalah tapi orang yang kita nak benar-benar jujur,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagiam Gombak Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin juga menegaskan perkara yang sama dan berpendirian sebagaimana Pas Gombak.