Pas tolak cadangan kerajaan perpaduan ala Mahathir
"Ia ditolak oleh Pas dan Umno kerana kerajaan itu akan membawa DAP dan pasukan Anwar sekali, sesuatu yang tidak dapat diterima oleh Pas dan Umno," kata ulama Pas yang duduk dalam lingkungan utama kepimpinan Pas itu.

Pas tolak cadangan kerajaan perpaduan ala Mahathir

Pas menolak cadangan Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamed dengan menyifatkan cadangan itu ditolak oleh rakyat sebagaimana yang dinyatakan dalam pungutan suara media sosial.

Bagi beliau, Tun Mahathir hanya mengharapkan sokongan kembali Pas dan Umno dengan alasan membentuk kerajaan perpaduan tanpa pembangkang tetapi dengan naratif melantik individu yang beliau rasakan sesuai sebagai menteri bukan dengan mandat parti masing-masing.

“Ia ditolak oleh Pas dan Umno kerana kerajaan itu akan membawa DAP dan pasukan Anwar sekali, sesuatu yang tidak dapat diterima oleh Pas dan Umno,” kata ulama Pas yang duduk dalam lingkungan utama kepimpinan Pas itu.

Katanya lagi, sekiranya terbentuk kerajaan oleh Tun, ia hanya mengulangi masalah yang berlaku dalam kerajaan PH sebelum ini kerana individunya adalah sama, daripada DAP dan PKR versi Anwar.

“Rakyat telah bosan dengan kegagalan kerajaan PH yang telah jatuh. Ia kerajaan yang gagal dan rapuh hubungannya saling berusaha menjatuhkan antara satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan di facebook beliau.

Bagi ahli parlimen Kuala Nerus itu, dalam ketidak-tentuan sebegini pilihan terbaik untuk rakyat ialah pembubaran parlimen.

“Mandat diserahkan kembali kepada rakyat untuk memilih kerajaan baru selepas melihat kerosakan dan kegagalan PH. Itulah yang dituntut oleh Pas dan Umno sekarang.

“Dan itulah yang dituntut oleh rakyat Malaysia hari ini berdasarkan pungutan suara di media sosial,” katanya.