Malaysia Dateline

Pas tolak Muafakat Nasional yang menyeleweng, ajak kumpulan Islam sertai PN

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng dari matlamat Muafakat Nasional (MN) yang asal.

Beliau turut mengajak semua kumpulan Islam untuk menyelamatkan negara dalam sebuah pakatan baharu, Perikatan Nasional (PN) bersama-sama dengan Bersatu yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti.

Pas mengeluarkan kenyataan tersebut selepas beberapa hari parti itu mengumumkan akan memperkukuh kerjasama dengan Bersatu untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Kenyataan itu juga dipercayai selepas Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyindir Pas supaya tidak mengulangi kegagalan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Semangat 46 dengan memilih sekutu yang salah dalam pilihan raya kelak.

“Pas menolak politik yang menghabiskan masa dengan bermain politik sampingan dan jalanan yang menyusahkan rakyat, tanpa melihat kepada musim bencana alam dan wabak yang masih menular hari ini.

“Pas menolak muafakat tanpa bersatu dan menolak kumpulan yang menunjukkan tiada kesetiaan kepada negara dengan sifat melampau yang mencabar agama dan bangsa,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid meminta rakan politiknya di dalam Muafakat Nasional iaitu untuk berfikir sejelas-jelasnya mengenai kepentingan mempertahankan gagasan Muafakat Nasional yang asli.

Tanpa menyebutkan nama Pas, Presiden Umno itu berkata, pembentukan gagasan Muafakat Nasional (MN) bukannya mudah.

“Belajarlah daripada kisah Angkatan Perpaduan Ummah dan Semangat 46 dahulu yang semuanya gagal kerana gabungan politik dibentuk tidak jujur dan ‘genuine’,” katanya semalam.

Pas turut membidas Ahmad Zahid dan mengatakan parti itu menolak agenda yang bertujuan semata-mata untuk menyelamatkan peribadi pemimpin dan kumpulannya, bukan untuk menyelamatkan negara dan semua rakyat.