Pas menolak sebarang usaha untuk menjadikannya sebagai alat kepada mana-mana parti lain, tegas Ketua Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, ketika usaha sedang dibuat untuk bekerjasama dengan parti itu bagi memastikan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).
“Pas membina tangga untuk rakyat sampai ke Putrajaya, bukan menjadi anak tangga kepada parti-parti lain,” kata ahli parlimen Pasir Mas itu dalam satu kenyataan di facebooknya.
Anak tangga yang dimaksudkan oleh Nik Abduh dipercayai merujuk kepada ‘alat tempat berpijak’ kepada parti-parti lain untuk naik ke atas persada politik tanah air.
“Pas sedang menyeru kepada Gagasan Sejahtera. Pas sedang memimpin gerakan pembangkang dengan disiplin dan caranya,” kata Nik Abduh dalam kenyataan itu.
Bagi beliau, berusaha mengajak Pas menukar langkah ini adalah sama seperti tindakan bekas pemimpin Pas dulu (Amanah hari ini) menyeru PAS mengubah halatujunya.
“Sia-sia,” tegas anak kepada bekas mursyidul am Pas yang paling berpengaruh itu.
Bagi beliau, “Di Malaysia, selepas Umno, Pas-lah pilihan utama rakyat.”
“Kenali dan akui ini sebelum berurusan dengannya,” tegas Nik Abduh memberikan ingatan kepada semua parti politik yang cuba mendekati parti itu sekarang.
Bagi beliau, ahli dan penyokong Pas adalah amanah yang mesti dijaga oleh seluruh pemimpin Pas.
“Insya Allah, Dewan Pemuda PAS Malaysia kental memikul amanah besar ini,” kata beliau yang buat pertama kali dipilih sebagai ketua pemuda Pas.
Semalam, ketika bertemu dengan Tan Sri Muhyidin Yassin di mahkamah, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpesan agar perundingan dibuat antara Pakatan Harapan dengan Bersatu serta Pas diajak sekali dalam perundingan itu.
Sebelum ini, selepas bertemu dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Muhyidin yakin boleh menjadi ‘glue’ kepada Pas untuk menyertai pakatan pembangkang bagi memastikan pertandingan satu lawan satu berlaku dalam pilihan raya umum nanti.
Namun kenyataan Muhyidin di pentas Pas agar parti itu memberikan kerusi-kerusi yang dimenangi Umno dalam pilihan raya lalu kepada Bersatu untuk bertanding, tidak disenangi akar umbi Pas.