Pas tuduh DAP perkasa Kristian, ‘bidan’ Amanah

Pas tuduh DAP perkasa Kristian, ‘bidan’ Amanah

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Riduan Mohd Nor menuduh DAP mempunyai agenda untuk menggerakkan Kristianisasi di negara ini selain pada masa sama menganggap Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai ‘dibidani’ DAP.

Dipetik daripada wawancaranya di akhbar Harakah terbaharu, beliau berpendapat ada kecenderungan untuk DAP menggerakkan agenda agama itu memandangkan perjuangan DAP didominasi pemimpin Cina-Kristian seperti Tony Pua, Teresa Kok dan Lim Guan Eng.

Usaha mereka terbabit, ujarnya, menentang dengan bersungguh-sungguh apa sahaja label syariah di Malaysia seperti penguatkuasaan kaunter berasingan dan menghentikan perniagaan selama 10 minit di Kelantan ketika waktu azan Maghrib.

“Ini termasuk mereka meletakkan Pas sebagai musuh mereka. Ini wajar ditentang,” tegasnya ketika ditanya tentang buku tulisan Hannah Yeoh Tseow Suan bertajuk ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ yang dianggap cenderung kepada pengaruh agama Kristian.

Mengulas reaksi DAP dalam menangkis isu buku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya berkenaan, Riduan dalam keluaran lidah rasmi Pas, Bil 2250, 22-25 Mei itu menyifatkan DAP tidak kelihatan berminat untuk membersihkan nama parti itu.

“Saya melihat DAP tidak bersungguh-sungguh (berhubung tuduhan agenda Kristianisasi) kerana DAP seolah-olah membenarkan apa yang berlaku.

“Itulah sebahagian perjuangan pemimpin DAP hari ini untuk memperkasa agama Kristian. Sebab itu, kita lihat perlecehan demi perlecehan dilakukan kepada umat Islam.

“Mereka tanpa segan mengguris perasaan umat Islam di negara ini,” ujarnya lagi ketika diwawancara pada 19 Mei lalu.

Menjawab pertanyaan tentang pemimpin PKR dan Amanah yang dikatakan mempertahankan Hannah, bekas guru di SMK Khatolik dan SMK La Salle Petaling Jaya itu bagaimanapun hanya ‘menyerang’ Amanah dengan menganggap tidak menghairankan apabila pemimpin Amanah menyokong pemimpin DAP.

“Bagi saya tidak pelik kerana Pan (singkatan yang konsisten digunakan Pas merujuk kepada Amanah) merupakan anak didik yang ‘dibidani’ oleh DAP.

“Sebelum berlaku pemilihan dalam Muktamar Pas ke-61 yang mewujudkan kumpulan Pasma dan apabila mereka kalah dalam pemilihan, tertubuhnya kumpulan G18 yang akhirnya ditubuhkan Pan.

“Maka tidak pelik apa sahaja yang keluar daripada pimpinan DAP akan disokong dan didukung oleh Pan,” dakwa Pengarah Urusan syarikat penerbitan buku, Jundi Resources itu lagi.

Buku ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’yang diterbitkan pada 2014 oleh Strategic Information and Research Development Centre mencetus kontroversi ekoran tindakan seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) membuat laporan polis pada 17 Mei lalu.

Dr Kamarul Zaman Yusuff mendakwa buku Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor itu mengandungi cubaan untuk memujuk, mempengaruhi, atau menghasut seorang lain yang bukan beragama Kristian, termasuk yang beragama Islam, supaya menjadi penganut atau anggota agama Kristian atau supaya cenderung kepada Kristian.

COMMENTS

Wordpress (0)