Pas tuduh orang di luar Pas jahil isu bai’ah

Pas tuduh orang di luar Pas jahil isu bai’ah

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Azman Ibrahim menyelar pihak di luar partinya yang tidak memahami isu bai’ah calon pilihan raya Pas sebagai “menampakkan kejahilan diri sendiri”.

Menurutnya, pihak berkenaan tidak harus memperkatakan hal berkaitan janji sumpah setia untuk taat kepada parti itu.

Tegas bekas calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Jabi berkenaan, isu bai’ah adalah urusan Pas dan ahli parti tersebut akan berpendirian konsisten dengan lafaz sumpah itu.

Reaksi pemilik Klinik Gigi Dr Azman di Bandar Baru Kubang Kerian, Kota Bharu itu dilihat ekoran keputusan wakil rakyat Pas Anak Bukit, Datuk Ir Amiruddin Hamzah menyertai Bersatu kelmarin.

“Orang yang berada di luar parti, tak perlu berbicara soal bai’ah calon Pas. Ini urusan Pas dengan mereka yang pernah melafazkan bai’ah dengan nama Allah.

“Orang lain tak terlibat tak akan faham. Maka bila tak faham, lebih baik diam dari bercakap isu yang akan menampakkan kejahilan diri sendiri,” katanya.

Dr Azman menyifatkan ahli Pas takut kepada Allah bukannya kerana orang lain memandangkan lafaz bai’ah mereka dengan nama Allah.

“Berbai’ah dengan nama Allah bermakna akhirnya segala urusan diserahkan kepada Allah.

“Kami yang berbai’ah dan terus kekal istiqamah di sini (dalam Pas) adalah kerana kami takut kepada Allah. Bukan kerana manusia.

“Teguh pendirian yang kami pegang kerana kami diikat dengan suatu perjanjian yang dilafazkan dengan nama Allah,” jelas Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan Pas Terengganu itu lagi.

9.5
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 9.0
CATEGORIES
TAGS