Pas tumpu penyatuan ummah, tidak campuri urusan pelantikan Najib

Pas tumpu penyatuan ummah, tidak campuri urusan pelantikan Najib

Pas tetap dengan pendiriannya untuk tidak menyentuh tentang isu dalaman parti gabungannya, Umno-Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya telah membuat keputusan untuk tidak mencampuri urusan parti lain.

“Kami tetap menumpukan kepada agenda penyatuan ummah tanpa mengambil tahu masalah dalaman parti.

“Sama ada mereka hendak melantik sesiapa sahaja dalam parti mereka, itu tidak menjadi kebimbangan kita.

“Setakat ini tidak ada yang mempersoalkan pelantikan Datuk Seri Najib. Pada kami, yang penting adalah isu lebih besar, isu dalaman pentadbiran parti masing-masing, itu urusan masing-masing,” katanya.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya pemberita berhubung pelantikan Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

Ketika ditanya media, adakah pelantikan Najib akan memberi kesan negatif, Ahli Parlimen Kota Bharu itu menyangkal perkara tersebut.

“Saya tidak nampak (kesan negatif), sebab itu dua perkara yang berbeza.

“Satunya dari segi pentadbiran parti (penasihat), asalkan anggota dalam BN secara konsensus bersetuju, saya rasa sudah tentu mereka memikirkan sesuatu yang baik,” katanya lagi.

Najib dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat BN pada mesyuarat di ibu pejabat parti di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam kelmarin.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam satu kenyataan berkata, Najib akan menjalankan tugas membantu BN dalam usaha untuk mengembalikan semula sokongan rakyat kepada parti itu.

Bagaimanapun pelantikan Najib itu dikritik rakan partinya Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang berpandangan bekas perdana menteri itu gagal dalam memberi nasihat kepada parti antara sebab kekalahan Umno-BN dalam pilihan raya yang lepas.

“Kita (BN) kalah di bawah siapa? Apa bentuk nasihat yang dia boleh berikan kepada kita?” kata Ahli Parlimen Padang Serai itu yang juga bekas ahli Majlis Tertinggi Umno kepada pemberita di lobi Parlimen pada Rabu.