Pas tunggu Azmin bincang status Exco Selangor

Pas masih menunggu tarikh daripada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan pelbagai isu yang melibatkan kerajaan negeri itu ekoran keputusan Pas menamatkan kerjasama poltik dengan PKR.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tarikh pertemuan itu masih belum ditetapkan lagi, lapor Harakahdaily.

“Kita serah kepada menteri besar untuk tentukan tarikh pertemuan itu. Setakat ini tarikh belum ditentukan lagi,” ketika ditemui selepas melepaskan peserta 10,000 langkah pada Harap-PGU 3.6 di Batu 24, Kuala Berang, pagi tadi.

Katanya, sehingga kini tiga Exco Kerajaan Selangor daripada Pas meneruskan tanggungjawab masing-masing yang mendapat rakyat pada Pilihan raya Umum ke-13 lalu.

“Kita hari ini kekal dalam kerajaan negeri kerana kita mendapat mandat rakyat dalam kerajaan campuran di Selangor, Pas bukan menumpang. Pada PRU13 lalu Pas mendapat 15 kerusi,” tegasnya.

Tambahan pula, katanya tinjauan mendapati rakyat Selangor berpuas hati dengan peranan yang dan tanggungjawab yang telah dilaksanakan oleh Exco kerajaan negeri daripada Pas.

Justeru, beliau berharap tidak ada pihak yang cuba bertindak mengganggu keharmonian kerajaan negeri yang ada sekarang.

“Suasana di Selangor adalah stabil dan jangan ada pihak yang mahu mengganggu perjalana kerajaan yang ada sekarang,” katanya.

Dalam sidang media semalam, Pas menetapkan pendirian untuk mengekalkan tiga Exco di Selangor sehingga Menteri Besar membuat cadangan dan diperkenan Sultan Selangor.

Tuan Ibrahim berkata, pengekalan tiga exco Pas di negeri itu sejajar dengan peruntukan undang-undang tubuh negeri Selangor.

“Mereka dilantik oleh ke bawah Duli Sultan Selangor dan kita akan tunggu perkembangan berikutnya.

“Kita rasa dengan mengekalkan tiga exco, pentadbiran negeri boleh berjalan lancar kita tidak mahu mengganggu sehingga keputusan baru dibuat,” ujarnya.

Tiga Exco Pas yang menganggotai majlis mesyuarat kerajaan negeri ialah Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.

PKR hingga kini tidak membuat sebarang keputusan berhubung tiga Exco Pas itu kerana menunggu Azmin pulang dari luar negara.

 

COMMENTS

Wordpress (0)