Malaysia Dateline

Pas tuntut kerajaan segerakan peruntukan undang-undang murtad

Kerajaan digesa segera memperkasakan kedudukan dan fungsi Mahkamah Syariah serta mengadakan perutukan tertentu dalam undang-undang sedia ada bagi menangani isu murtad di negara ini.

Ketua Penerangan Pas Pusat Nasrudin Hassan berkata. parti itu optimis bahawa dengan kesatuan umat Islam di negara ini menghadapi ancaman murtad yang semakin berleluasa, undang-undang ini akan dapat dilaksanakan pada suatu masa nanti.

” Lima perkara yang perlu dilakukan oleh Kerajaan bagi membolehkan gejala murtad dicegah dengan lebih berkesan seperti yang diusulkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Mac 1998 di Dewan Rakyat hendaklah diberikan perhatian.

“Dalam masalah ini, sekalipun dengan keterbatasan yang ada dan halangan yang wujud, Pas telah menunaikan kewajipan untuk menyelamatkan akidah umat Islam* dengan menggubal Seksyen 23 (3) dan 23 (4) Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Hukuman Hudud) Negeri Kelantan dan Seksyen 26 (1) dan 26 (2) Enakmen Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud & Qisas) Terengganu 2002,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Nasarudin merujuk kepada cadangan Abdul Hadi  ketika itu  masih Timbalan Presiden Pas, yang pernah mengemukakan usul tergempar di bawah Perkara 18 Peraturan Dewan Rakyat untuk menangguhkan sidang bagi membolehkan isu murtad dibincangkan di Dewan Rakyat pada 25 Mac 1998.

Ini susulan  hasil Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-44 pada 15-17 Mei 1998  mendesak Kerajaan Pusat supaya mewujudkan undang-undang pencegahan murtad, sehingga pada 2 September 1999, Abdul Hadi bertindak mengemukakan Rang Undang-undang Persendirian untuk mewujudkan undang-undang bagi mencegah murtad, tetapi ia tidak dilayan oleh kerajaan.

Usul ini kemudiannya ditolak setelah dibentangkan kerana Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Zahir Ismail ketika itu,  berpandangan ia tidak perlu disegerakan walaupun merupakan perkara tertentu dan berkepentingan ramai.

Justeru kata Ahli Parlimen Temerloh ini lagi, dengan keputusan yang dicapai Mahkamah Persekutuan di Kuching itu memberi  makna mendalam terhadap perjuangan mengangkat kembali martabat Mahkamah Syariah di negara ini.

Beliau berkata, ia sekaligus memberi nafas kepada institusi mahkamah syariah bagi mengadili keputusan yang melibatkan urusan umat Islam.

“Pas mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan peguam dan pihak yang terlibat bagi memastikan kemenangan dalam pendengaran kes tersebut.

“Meskipun masih banyak perkara yang perlu diselesaikan, sekurang-kurangnya keputusan tersebut memberi satu signal penting mengenai kedudukan Mahkamah Syariah di negara ini,” ujarnya.

Beliau menegaskan isu murtad adalah suatu jenayah yang besar di sisi Islam dan ia hanya dapat dibendung melalui pelaksanaan syariat Islam.

“Sebutan kes yang berlaku ini bukan perkara kecil dan boleh dipermainkan.

“Murtad dianggap sebagai kesalahan yang besar sehingga dikenakan hukuman yang berat kerana ia mencabuli kedudukan harta benda, hak milik dan status perkahwinan mereka yang terbabit. Ia memberikan kesan kepada kehidupan manusia di dunia dan juga di akhirat.

“Pas meletakkan keyakinan bahawa perlaksanaan syariat Islam yang komprehensif mampu membendung gejala murtad daripada terus berleluasa.

“Saya menyeru semua pihak untuk memberikan perhatian yang serius dan komitmen yang sepenuhnya terhadap isu ancaman murtad di negara ini terutamanya gerakan yang dicetuskan oleh pendakyah Kristianisasi dan Islam Liberal yang semakin berkembang,” ujarnya.

Semalam Mahkamah Persekutuan memutuskan terdapat peruntukan dalam Ordinan Majlis Agama Islam Sarawak berhubung bidang kuasa Mahkamah Syariah Sarawak untuk mengendalikan kes murtad.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin berkata mahkamah sebulat suara mencapai keputusan untuk menolak rayuan empat orang dari Sarawak bagi mahkamah sivil mendengar kes murtad mereka dan memutuskan ia tiada merit terhadapnya.

Katanya walaupun tiada peruntukan bagi murtad tetapi ada peruntukan atas perkara mengenai tindakan memeluk Islam yang bererti Mahkamah Syariah Sarawak mempunyai bidang kuasa terhadap isu murtad.

Beliau berkata terdapat Seksyen 68 dan 69 Ordinan Majlis Islam Sarawak yang boleh digunakan oleh Mahkamah Syariah Sarawak untuk mendengar perkara berhubung isu murtad dalam Islam.

Lima anggota panel hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang, terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop dan Hakim Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Jeffrey Tan dan Tan Sri Ramly Ali.