Pas tutup KPK, PH akan buka semula, kata Husam

Pas tutup KPK, PH akan buka semula, kata Husam

Kilang papan Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) di Jelawang, Dabong akan kembali beroperasi bila kerajaan Pakatan Harapan (PH) pilihan rakyat mentadbir negeri Kelantan selepas pilihan raya nanti.

Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa (gambar atas kiri)  berkata kilang yang diasaskan oleh Tan Sri Mohamed Yacob itu perlu dihidupkan semula bagi memberi khidmat kepada rakyat kususnya golongan berpendapatan rendah.

“Sekarang tuan-tuan semua tahu, kilang papan milik KPK ini telah ditutup oleh kerajaan Pas.

“InsyaAllah bila PH dipilih nanti, kilang ini akan beroperasi semula,” katanya di majlis perasmian cawangan dan dialog rakyat di Jelawang, Dabong pada Sabtu.

Menurutnya pentadbiran KPK yang diketuai exco dan wakil rakyat Pas telah melakukan salah urus yang teruk hingga syarikat pembalakan itu akhirnya lumpuh sama sekali.

“Saya telah beberapa kali membangkitkan perkara ini di dalam persidangan dewan undangan negeri termasuk meminta kerajaan membenarkan laporan audit diumumkan,” katanya.

KPK menurut Husam sepatutnya digunakan untuk membuat penyelesaian bagi membantu golongan rakyat kurang mampu memiliki rumah.

“Walaupun kilang KPK ditutup, balak masih terus dikeluarkan.

“Ini bermakna sekarang balak berkenaan dijual kepada orang lain dan tiada lagi manfaat untuk rakyat yang bekerja di situ.

“Bila PH mentadbir, kita akan manfaaatkan kilang ini dengan cara menyediakan kayu gergaji untuk membuat rumah yang boleh dijual dengan harga rendah kepada golongan rakyat yang tidak memiliki rumah kediaman.

“Kita akan beri tanah, beri tapak rumah, kayu balak kita mesin di KPK, kita buat saiz rumah rakyat dan jual dengan harga diskaun,” katanya.

Penduduk Dabong yang hadir dalam majlis diadakan.

Beliau berkata Dabong memiliki sumber alam yang sangat bernilai tinggi untuk dimajukan dan dibangunkan.

“Di sini ada air terjun Stong yang merupakan air terjun tertinggi di Asia Tenggara.

“Sepatutnya direka bentuk laluan-laluan, denai-denai untuk pejalan kaki menikmati keindahan alam semulajadi di sepanjang air terjun ini.

“Telah ada banyak ekspedisi yang menemukan kekayaan pelbagai spesis dalam kawasan ini.

“Bunga reflesia, iaitu bunga terbesar di dunia ada di sini, burung enggang yang hanya dianggap wujud di Sarawak juga ada di sini.

“Taman negeri Nenggiri telah digazetkan sebagai taman negeri tetapi tidak dimajukan bagi membolehkan pelancong-pelancong memasukinya dengan selesa dan selamat.

“Saya yakin sekiranya kawasan ini dimajukan, ia mampu menarik lebih dari 2 juta pelancong ke sini setiap tahun,” katanya.

Menyentuh kejatuhan harga getah, beliau kesal kerana kerajaan negeri tidak mengambil apa-apa langkah untuk membantu rakyat.

“Gapo (Apakah) kerajaan Pas telah tolong Dabong dalam masa lima tahun ini,” soalnya.

Pekebun-pekebun katanya patut dibantu dengan cara menyediakan sumber pendapatan kedua selain bergantung kepada getah dan kelapa sawit.

“Sepatutnya kerajaan secara sistematik membantu pekebun memodenkan kaedah penanaman mereka.

“Pokok-pokok yang menghasilkan buah bernilai tinggi perlu diperkenalkan untuk diusahakan oleh rakyat.

“Kaedah pemasaran perlu diperkemaskan supaya hasil yang diperolehi oleh para pengusaha dapat ditingkatkan,” katanya.

Dalam majlis itu, Husam disambut meriah oleh penduduk Dabong. Sekitar 50 pemuda bermotosikal mengiringi beliau sebaik tiba di Dabong.Beliau kemudian menerima permohonan untuk menubuhkan 20 cawangan AMANAH di Dun Dabong.

Pengerusi Amanah Negeri Wan Rahim Wan Abdullah (tiga dari kiri) menerima 20 borang penubuhan cawangan baru di Dabong.

 

9.0
OVERALL SCORE
: 7.0
3 user votes x 9.7