Malaysia Dateline

Pas ‘u-turn’ sokong kepimpinan Dr Mahathir amat luar biasa, kata Pemuda AMANAH

 

Pemuda AMANAH Nasional berpendiran tindakan Pas menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir dilihat sebagai satu ‘u-turn’ yang amat-amat luar biasa.

Naib Ketua Pemudanya Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, dengan tindakan Pas itu, akan memberi tekanan kepada BN sebagai rakan politik Pas selepas PRU14.

“Pertemuan dengan Tun M dengan ‘dokumen contoh’ itu dibuat sejurus selepas perarakan Pas bersama calon BN di penamaan calon.

“Usahkan pengamat politik, BN yang dimaklumi umum sebagai rakan politik Pas pasca PRU-14 juga mungkin sedang pening dan hairan dengan langkah politik Pas ketika ini.

“Jika benar sokongan Pas kepada kepimpinan Perdana Menteri, yang juga Pengerusi Harapan itu bukan bersifat ‘bohong syarie’, bermakna Pas sedang bersetuju dengan segala dasar kerajaan Pakatan Harapan ketika ini.

“Jika sudah begitu situasinya, Pemuda AMANAH mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pas kerana terbukti bahawa segala tohmahan yang dilemparkan pemimpin Pas kepada pentadbiran Tun M selama ini tidak betul dan helah politik semata-mata,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shazni lagi sekiranya Pas mengharapkan dengan sokongan ini untuk terselamat dan tidak disiasat rentetan kes yang berkait dengan 1MDB dan audio yang mengundang isu keselamatan negara, hal itu sukar untuk berlaku.

“Sebagai kerajaan yang telus dan berintegriti, kita menyerahkan segala siasatan kepada pihak berkuasa dan sesekali tidak akan campur tangan terhadap sebarang siasatan yang telah, sedang atau yang akan dibuat,” ujarnya.

Semalam Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan dalm sidang medianya, mendakwa dua parti komponen Pakatan Harapan (PH) mungkin merancang untuk menyingkirkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melalui undi tidak percaya di Parlimen.

Beliau berkata, partinya merasakan ada yang tidak kena dengan cara Mahathir bercakap tentang sekutunya dalam PH.

Justeru, katanya, sebab itulah Pas berikrar memberi sokongan kepada beliau ketika pertemuan dengan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang Jumaat lalu.

Sehari selepas pertemuan itu, Dr Mahathir mendakwa Pas membuat keputusan untuk tidak menyokong BN dalam PRK Semenyih.

Mahathir sekali lagi menegaskan perkara itu semalam, dan memaklumkan belau menerima persetujuan bertulis yang ditandantangani Takiyuddin.

Bagaimanapun Takiyuddin menjelaskan, persetujuan bertulis itu sebenarnya draf ikrar menyokong Mahathir jika parti komponen PH memulakan undi tidak percaya terhadapnya.