Malaysia Dateline

Pas ucap takziah pemergian bekas ahli parlimennya Dr Shahnon

Pas hari ini menzahirkan rasa dukacita dan takziah kepada ahli keluarga dan saudara mara serta sahabat handai kepada Allahyarham Sasterawan Negara Prof. Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad yang telah kembali ke rahmatillah Hospital KPJ Kajang, awal pagi tadi.

Menerusi kenyataan Ketua Penerangan Pas Pusat Nasrudin Hassan beliau berkata, pemergian Shahnon merupakan kehilangan yang amat besar kepada negara khususnya dalam bidang kesusasteraan.

“Beliau adalah seorang sasterawan yang prolifik di negara ini.

” Allahyaram juga pernah menyumbang tenaga dan buah fikirnya kepada Pas dan juga pernah menyandang tugas sebagai Ahli Parlimen Pas bagi kawasan SIK pada tahun 1999 yang lalu.

“Semoga Allah mengampuni dan merahmati Allahyarham serta menghimpunkan ruhnya dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” ujarnya dalam kenyataan.

Allahyarham Shahnon Ahmad dilahirkan di Sik Kedah pada 1933. Beliau ialah seorang penulis Malaysia, mendapat gelaran Sasterawan Negara, serta bekas Ahli Parlimen.

Beliau dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara pada tahun 1982 dan pernah berkhidmat di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Allahyarham ke hospital pakar KPJ Kajang sejaka empat hari lalu kerana mengalami masalah Penumonia dan menghembuskan nafas terakhirnya di sisi keluarganya pagi ini dan dikebumikan seleasp solat zohor hari ini.