Pas ucap terima kasih kesediaan PM salurkan royalti minyak

Pas ucap terima kasih kepada Dr Mahathir, kata Tuan Ibrahim.

Pas menyambut baik dan penuh syukur di atas kesediaan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, untuk meneruskan pemberian royalti minyak.

Dengan kesediaan Dr Mahathir ini, Pas berharap amalan politik balas dendam sebagaimana yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional lalu tidak lagi diikuti.

“Sebagai parti yang beramal dengan sistem demokrasi dan menghormati konsep federalisme, Pas berlapang dada walaupun pernah perit dihukum dengan penarikan bayaran royalti dahulu,” kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagi beliau, kesediaan terbaharu daripada Tun M itu memungkinkan bermulanya era baharu dalam budaya politik secara matang meneruskan momentum menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi contoh di peringkat antarabangsa susulan peralihan kuasa yang damai selepas PRU14.

Bersangkutan dengan itu, katanya, Pas juga menaruh harapan agar semua peruntukan-peruntukan perkapita lain yang layak diterima oleh negeri-negeri dapat disalurkan tanpa apa-apa sekatan, sebagimana yang termaktub di dalam perlembagaan.

Begitu juga dengan projek-projek sedia ada yang sedang berjalan dan yang telah diluluskan melalui Rancangan Malaysia ke 11, haruslah diteruskan sehingga selesai, untuk faedah rakyat.

Ini termasuklah projek LPT3, pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, lebuhraya jajaran tengah (Central Spine Road) dan yang lebih utama projek rangkaian jalan keretapi pantai timur (ECRL) yang tidak harus dibatalkan tapi dirunding semula kos dan perjanjiannya agar ia menepati piawaian kewangan yang sihat.

Amalan yang menghormati konsep demokrasi dan federalisme adalah amat penting bagi melicinkan pentadbiran kerajaan negeri-negeri yang telah dipilih secara demokratik oleh rakyat.

“Pilihan rakyat haruslah dihormati. Oleh itu penyaluran semua peruntukan di atas haruslah mengikut sistem dan undang-undang sedia ada iaitu terus kepada kerajaan negeri masing-masing dan tidak lagi melalui pihak ketiga yang dibentuk khusus seperti Jabatan Pembangunan Persekutuan, atau pihak-pihak lain di luar pentadbiran negeri seperti di zaman BN.” katanya.

Dr Mahathir dalam dialog dengan media Pakatan Harapan berkata, royalti minyak akan diberikan kepada Kelantan dan Terengganu namun bentuk dan jumlahnya tidak dinyatakan.