Pas ucap terima kasih pada BN atas kerjasama dalam PRK

Pas ucap terima kasih pada BN atas kerjasama dalam PRK

Pas Selangor mengucapkan jutaan terima kasih Umno dan Barisan Nasional (BN) atas kerjasama membantu Pas dalam pilihan raya kecil (PRK) bagi Dun Seri Setia.

Dalam satu kenyataan, Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, keputusan PRK Seri Setia telahpun dimuktamadkan.

Pas Selangor ujar beliau, bukan sekadar berlapang dada menerima keputusan ini bahkan mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh jentera, petugas serta pengundi sehingga dapat meningkatkan perolehan undi 100 peratus berbanding pilihan raya umum yang lepas, termasuk undi polis dan tentera.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh pimpinan Pas Pusat, Pesuruhjaya dan kontinjen negeri-negeri, calon Pas, jentera dan petugas Pas dari semua peringkat.

“Jutaan Terima Kasih juga buat Presiden dan seluruh pimpinan Umno pusat, negeri, bahagian dan cawangan serta sayap parti, tidak ketinggalan juga MIC, MCA, serta semua yang telah bertungkus lumus melalui pengorbanan masa, tenaga, idea dan wang ringgit bagi membantu Pas dalam PRK ini,” kata beliau.

Jelas Sallehen, kerjasama dalam PRK ini adalah sejarah baharu bagi terus memacu landskap baru politik negara melalui blok pembangkang yang kuat ke arah membina negara yang jujur.

“Semoga PRK ini akan terus memperkukuhkan kerjasama ini demi Islam, kesejahteraan dan perpaduan rakyat,” kata beliau.

PRK Seri Setia semalam menyaksikan calon Pakatan Harapan (PH) Halimey Abu Bakar berjaya mengalahkan calon Pas Dr Halimah Ali.

Halimey memperolehi 13,725 undi manakala calon Pas Dr Halimah memperolehi 9,698 undi. Majoriti dimenangani Halimey 427 undi.

Undi ditolak 164 dan peratusan pengundian 44.1 peratus.

3.7
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 0.5
CATEGORIES
TAGS