Pas-Umno digesa tarik balik kenyataan ‘Amanat Haji Hadi’ dan ‘Pas Parti Ajaran Sesat’ sebelum pemeteraian piagam

Pas-Umno digesa tarik balik kenyataan ‘Amanat Haji Hadi’ dan ‘Pas Parti Ajaran Sesat’ sebelum pemeteraian piagam
(kiri) Datu kSeri Abdul Hadi Awang dan (kanan) Datuk Ahmad Said

Pengerusi AMANAH Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berpendapat Pas dan Umno harus menarik balik kenyataan pemimpin mereka yang pernah dilontarkan kepada kedua parti tersebut sebelum memeterai piagam kerjasama Pas-Umno pada Sabtu ini.

Beliau mengingatkan semula kenyataan yang pernah dibuat oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi Amanat Haji Hadi’dan kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu Datuk Ahmad Said ketika menjawat Menteri Besar pada 2012 yang mendakwa ‘Pas parti ajaran sesat’.

Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah

Katanya, kesan daripada Amanat Haji Hadi itu berlaku keadaan yang mana pengikut kedua dua parti tidak memakan daging sembelihan pihak lain, bersembahyang dua imam dalam waktu dan masjid yang sama dan berlaku akad nikah semula kerana keraguan akad oleh pihak lain.

“Akibat amanat dan tuduhan melulu tersebut Umno pula menuduh Pas parti ‘berajaran sesat’ yang telah menyeleweng.

“Pertembungan di antara pengikut kedua dua parti amat parah dan mendalam melibatkan terjejasnya pertalian keluarga dan sillaturrahim.

“Isu ‘Kafir mengkafir’ oleh Pas dan isu ‘Parti ajaran sesat’ oleh Umno perlu di selesaikan oleh pemimpin mereka demi maruah penyokong setia kedua-dua parti tersebut yang telah banyak berkorban dan ada yang telah menjadi korban.

“Akibat percaturan politik rakus pemimpin mahu berkuasa dan yang telah hilang prinsip perjuangan asal parti, pengorbanan silam lama penyokong penyokong setia mereka telah di sia-siakan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang mahu Pas menarik balik Amanat Haji Hadi sebelum memuktamadkan kerjasama bersama Umno melalui pemeteraian piagam dan memorandum persefahaman (MoU) pada Sabtu ini.

Tambah Raja Kamarul Bahrin lagi,  isu ini  harus diperbetulkan oleh kedua pemimpin parti berkenaan dengan satu kenyataan penarikan balik sebelum piagam Pas-Umno itu dimeterai bersama.

“Kenyataan yang telah mula didengar di ucapkan di Banggol Peradong, Terengganu, telah banyak mempengaruhi pengikut Pas dalam isu pernikahan, halal haram sembelihan ahli Umno, kenduri kendara dan telah menimbulkan isu sembahyang dua imam.

“Isu ini perlu diperbetulkan dengan satu penarikan balik sebelum perjanjian di pemertai seperti saranan Tun Mahathir. Isu ini amat mendalam kesannya terutamanya di kalangan masyarakat Terengganu khususnya dan seluruh Negara secara aamnya. Akibatnya keluarga telah berpecah belah dan sahabat handai telah tidak bertegur sapa.

“Kenyataan “amanat Banggol Peradong” pada 1981 tersebut mesti di tarik balik oleh Pas sebelum perjanjian di tandatangani kalau mahu ianya mempunyai apa-apa kredibiliti dan makna seperti dinyatakan oleh Tun Mahathir.

” Umno pula perlu menarik balik tuduhan Pas adalah parti “ajaran sesat” seperti dinyatakan pada bulan April tahun 2012 semasa BN-Umno memerintah Terengganu.

“Ketua perhubungan Umno Terengganu hari ini adalah Datuk Seri Ahmad Said, yang juga merupakan Menteri Besar Terengganu pada April tahun 2012 semasa satu Wacana bertajuk: ‘Pas: Parti Ajaran Sesat’ di adakan oleh Umno Terengganu.

“Waktu Amanat Haji Hadi pada 7 April 1981 berkaitan isu ‘kafir mengkafir’ dan Wacana Umno- “PAS Parti Ajaran Sesat” semasa Datuk Ahmad Said menjadi Menteri Besar Terengganu pada April 2012 sudahpun merangkumi 31 tahun.

“Selama 31 tahun itu perbezaan politik Pas dan Umno bergolak lebih hebat daripada tahun sebelum daripada itu .

“Selepas 61 tahun dan BN-Umno di tumbangkan oleh Pakatan Harapan, tanpa perubahan atau penarikan balik tuduhan yang tajam dan dahsyat di antara dua parti tersebut, Pas dan Umno mahu memerterai perjanjian.

“Pengikut Pas dan Umno ramai hairan bagaimana situasi ini boleh wujud.

“Adakah semata-mata kerana pimpinan mereka mabuk dan inginkan kuasa mereka sanggup berkerjasama tanpa perdamaian sebenarnya di akar umbi ?

“Adakah mereka berlaku adil kepada penyokong mereka? Kerana kehendak pemimpin yang idamkan kuasa, pengorbanan serta prinsip perjuangan penyokong mereka di sia-siakan?,” soalnya.