Malaysia Dateline

Pas-Umno harap isu agama, kaum beri keuntungan undi

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menyifatkan Pas dan Umno yang membentuk Muafakat Nasional hanya menjadikan isu kaum dan agama sebagai modal politik.

Naib Presiden AMANAH itu berkata, kedua-dua parti pembangkang itu hakikatnya tidak mempunyai pandangan yang konstruktif melalui dasar alternatif untuk rakyat.

Menurutnya, modal yang ditanam untuk menimbulkan sentimen kaum dan agama paling mudah menyentuh sensitiviti rakyat.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, Pas dan Umno berharap sensitiviti tersebut akan memulangkan keuntungan dengan meraih undi daripada masyarakat Muslim.

Mujahid berkata demikian dalam slot Bicara YB, “Cabaran 2020: Mendepani Isu Agama dan Perkauman” menerusi Jom Channel baru-baru ini.

“Betulkah Umno dan Pas ini satu permuafakatan nasional kerana sepanjang 20 bulan (Pakatan Harapan) menjadi kerajaan, apa isu ekonomi yang mereka boleh cari sebagai alternatif?

“Apa isu sosial yang mereka kemukakan sebagai dasar alternatif yang menjadi advokasi kepada mereka?

“Mereka (Pas dan Umno) tidak pergi kepada satu pandangan yang konstruktif melalui polisi yang relevan supaya rakyat boleh buat penilaian. Tidak ada,” tegasnya.

Menjadikan isu tulisan Jawi dan tanglung di sebuah sekolah menengah, Dr Mujahid menyifatkan pihak pembangkang terus memainkan sentimen perkauman dan agama.

“Sepanjang saya jadi menteri hampir dua tahun ini, itulah isunya; kaum dan agama. Padahal, ketika saya dua penggal jadi pembangkang, kami tidak menggunakan sentimen kaum dan agama ketika bergelut dan bersaing dengan BN.

“Kita bergelut dan bersaing dengan mengeluarkan belanjawan PH. Kita keluarkan Buku Jingga yang kalau kita jadi kerajaan, ini yang kita akan buat.

“Setiap tahun kita akan kemukakan belanjawan alternatif. Dalam Parlimen kita berdebat atas dasar ini. Contohnya kita bersaing dengan mereka (BN) atas isu kos sara hidup rakyat dan GST,” jelasnya.

Sehubungan itu, Dr Mujahid mengharapkan pembangkang hari ini bergelut dan berdebat dengan Pakatan Harapan (PH) atas isu dasar dan kepentingan negara.

“Malangnya sehingga hari ini, kita tidak jumpa dasar apa mereka mahu bergelut dengan saya.

“Semuanya isu kaum dan agama, lalu mereka boleh mendabik dada mengatakan mereka adalah muafakat nasional? Apa yang muafakat nasionalnya?” bidas Dr Mujahid.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihak pembangkang sebelum PRU-14 bergelut dengan BN ketika itu atas isu rasuah dan kleptokrasi.

“Kita sudah menduduki kuasa atas kelantangan kita sebelum ini memerangi rasuah. Apabila sudah mendapat kuasa, kita cuba memulihkannya dengan pelbagai usaha kita buat.

“Kita ada dasar memerangi rasuah. Kita perkukuh SPRM dengan kepimpinan yang baru. Kita ada semua wakil rakyat dan menteri-menteri yang mengisytihar harta mereka supaya telus.

“Tidak ada lagi mana-mana menteri yang boleh membuat rekemendasi projek dan sebagainya melainkan mengikut proses dan prosedur yang sepatutnya.

“Namun, pembangkang apabila disuruh isytihar harta, Pas dan Umno membangkang kerana apa?

“Alasannya kalau isytihar orang tahu, membahayakan keselamatan. Mungkin mereka banyak harta berbilion gamaknya, dia tidak mahu isytihar,” bidasnya lagi.