Pas-Umno sebagai parti Melayu Islam wajib jalin kerjasama

Pas-Umno sebagai parti Melayu Islam wajib jalin kerjasama

Hubungan  antara Pas dan Umno, dua parti politik Melayu Islam di negara ini,  tidak boleh dipisahkan walaupun kedua-dua parti mempunyai ideologi berbeza, kata Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Beliau berpendapat  Umno dan Pas wajib menjalankan kerjasama demi kelangsungan Islam di negara ini untuk mewujudkan kerajaan campuran sebagaimana disarankan pendakwah perbandingan agama antarabangsa Dr Zakir Naik pada Rabu.

Harussani  menjelaskan, umat Islam walaupun berbeza pegangan politik adalah haram berpecah dan perkara itu telah dinyatakan dalam al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w..

“Saya amat bersetuju supaya Umno dan Pas bekerjasama demi kelangsungan Islam di negara ini. Itu memang ajaran Islam, umat Islam kalau berpecah hancur kita.

“Ideologi berlainan tidak mengapa tetapi perpecahan tidak boleh. Hendak selamatkan Islam di negara ini hanya dengan satu cara sahaja iaitu kerjasama antara Umno dan Pas,” lapor Utusan Malaysia.

Sebelum ini, pendakwah Islam antarabangsa Dr Zakir Naik menyatakan, kerajaan campuran Umno dan Pas akan memberi banyak kebaikan kepada Malaysia dalam memacu negara ke hadapan serta mengukuhkan Islam.

Katanya, beliau bukannya mencadangkan dua parti politik Islam utama negara itu bergabung, tetapi adalah lebih baik jika kedua-dua parti politik berkenaan membentuk kerajaan campuran.

Sementara itu, pendakwah terkemuka Datuk Mohd Kazim Elias turut menyokong penuh saranan daripada Dr Zakir terbabit.

Menurutnya, ia demi kelangsungan kuasa politik Melayu dan Islam memandangkan perkara tersebut adalah perintah Allah dan Rasulullah supaya bersatu dan bertolong-tolongan atas perkara kebaikan dan ketakwaan.

TAGS