Malaysia Dateline

Pas-Umno tiada hubungan, bertunang jauh sekali, kata Mohd Amar

Pas menafikan tindakan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman keluar Umno berpunca daripada Muktamar Pas di Terengganu baru-baru ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Pas tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Umno apatah lagi dituduh ‘berkahwin’ oleh musuh mereka.

“Kami tiada apa-apa hubungan lagi antara Pas dan Umno, cuma baru duduk sekali, minum air sekali, mengorat pun belum, bertunang jauh sekali.

“Jadi apa yang menjadi masalahnya, tidak tahu ke mana lagi,” soal beliau.

Beliau sekali gus menjawab tuduhan musuh parti bahawa Pas sudah bergabung dengan Umno.

Malah beliau percaya tindakan keluar Umno disebabkan mereka hidup dalam kemewahan selepas 60 tahun pemerintahan BN di negara ini serta kurang pengalaman sebagai pembangkang.

“Langkah tersebut sebagai permulaan yang akan diikuti oleh lebih ramai ahli serta pimpinan tertinggi Umno lain.

“Ini mungkin proses kesudahan Umno, saya rasa bukan Datuk Pa dengan Anifah sahaja, saya percaya ramai lagi yang akan mengikut mereka selepas ini.

“Sebab mereka ini sudah biasa hidup senang jadi kerajaan, dia tiada pengalaman jadi pembangkang, bila jadi pembangkang ini sudah perit sebagaimana dirasai Pas,” katanya dipetik Harakahdaily.