Pas-Umno tolak pengundi bawah umur

Oleh ARIF ATAN

Pas dan Umno sepakat menyatakan rasa tidak setuju terhadap usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur pengundi daripada 21 kepada 18 tahun yang dijangka dibentang di Parlimen, Julai ini.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, pengundi yang berumur 18 tahun belum mencapai proses kematangan untuk diberikan tanggungjawab untuk memilih.

“Keputusan mesyuarat Pas memutuskan bahawa kita bersedia menyokong pendaftaran secara automatik untuk para pengundi yang berumur 21 tahun ke atas sahaja.

“Kami merasakan masih belum sampai masanya untuk warga negara yang berumur bawah 21 tahun diberi tanggungjawab untuk memilih.

“Mungkin proses kematangan ini perlu kita sediakan supaya warganegara yang berumur 18 tahun sehingga 21 tahun sudah cukup bersedia untuk memilih pemimpin negara,” ujarnya.

Kamaruzaman berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Sambutan dan Jamuan Raya, Perpaduan Ummah Peringkat Parlimen Bangi di Bandar Baru Bangi hari ini.

Turut hadir, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Sallehen Mukhyi; Ketua Umno Bahagian Bangi, Datuk Mohd. Zaidi Md. Zain dan Yang Dipertua Pas Bangi, Mohd. Shafie Ngah.

Tempoh sesuai

Datuk Mohd. Zaidi Md. Zain

Sementara itu, Zaidi berkata, Umno turut bersama Pas yang tidak menyokong usul tersebut yang didakwa pengundi berumur 18 tahun belum mencapai tahap pemikiran yang matang.

“Kita tengok umur 18 tahun ini baru sahaja lepasan SPM. Mereka sebelum ini banyak menumpukan pada pengajian di peringkat sekolah.

“Jadi, mereka belum matang pemikirannya. Untuk memberikan mereka satu perhitungan dalam negara, perlu melalui tempoh masa yang sesuai,” ujarnya.

Terdahulu, pada Selasa, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun memaklumkan, usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Julai ini.

Beliau berkata pembentangan usul itu yang dijadualkan pada 4 Julai bertujuan membolehkan mereka yang berumur 18 tahun menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Sekiranya diluluskan, lebih ramai golongan belia dan pelajar institusi pendidikan tinggi, termasuk di politeknik kerajaan layak mengundi pada pilihan raya yang datang,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Program Pendidikan Pengundi bersama Politeknik Kuching.