Malaysia Dateline

Pas-Umno umpama ‘adik beradik’ tidak boleh berkahwin, kata Abdul Hadi

Kerjasama Pas dan Umno umpama ikatan adik-beradik yang mengharamkan jalinan kedua-dua parti itu untuk bergabung dalam mencapai matlamat politik masing-masing.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Umno dan Pas tidak akan berkahwin dan gabungan kedua parti politik itu ibarat adik-beradik yang sememangnya ‘haram’ jika bernikah.

“Ramai yang yang melabel kerjasama Umno dan Pas sebagai mahu bernikah dan berkahwin.

“Tetapi kita adik-beradik, mana boleh kahwin. Jika kami berkahwin, itu namanya sumbang mahram,” katanya.

Beliau berkata demikian apabila menjawab pertanyaan mengenai dakwaan bahawa Pas akan membentuk gabungan bersama Umno untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau hadir dalam Program Wacana Islam & Isu semasa bertajuk Kesatuan Umat Islam di Malaysia: Prospek dan Cabaran  anjuran Persatuan Ulama Malaysia  di Universiti Malaya,  malam tadi.

Ditanya mengenai tindakan beliau yang sering memilih berdiam diri terhadap spekulasi dan isu sensitif, Abdul Hadi menjelaskan beliau memilih untuk bersabar ketika timbulnya sesuatu krisis.

Beliau berkata, ianya lebih baik bagi beliau untuk berdiam diri kerana percaya pada peribahasa diam-diam ubi berisi, atau diam orang berakal.

“Cuba kita lihat taktik mereka yang bermain wrestling (Gusti). Apabila orang pukul, dia buat-buat lemah. Bagi mereka pukul sampai letih, kemudian baru kita balas kerana kita tahu segala pukulan itu tidak betul dan segala fitnah itu tidak benar.

“Contoh ‘senjata’ terbaru yang digunakan adalah dengan mengaitkan kerjasama Umno dan Pas yang didakwa akan membentuk sebuah negara Taliban.

“Mungkin mereka takut kejadian seperti di New Zealand akan berlaku sekiranya Pas bergabung dengan Umno,” ujarnya sinikal.

Terdahulu Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dilihat seperti menakutkan masyarakat bukan Islam dengan mengambarkan gabungan Pas dan Umno akan menjadikan Malaysia seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kedua-dua parti membentuk kerajaan.

Menurut Abdul Hadi, pandangan tersebut dianggap ‘sasau’ dan tidak berpijak di lapangan kerana rakyat dan umat Islam boleh melihat dan menilai perkara itu.

“Sebab itu saya pilih untuk bersabar dengan krisis yang timbul sesama sendiri. Itu lebih baik. Apabila befikir secara kepala dingin, akhirnya akan timbul kematangan,”katanya.