Malaysia Dateline

Pas umum bertanding 11 kerusi DUN, berdepan GPS di Sarawak

Parti Islam Se-Malaysia (Pas) mengumumkan akan bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 yang bakal berlangsung dalam masa terdekat ini. (gambar atas hanya hiasan).

Ia sekali gus bakal menyaksikan pertembungan Pas dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kawasan DUN yang akan ditandingi nanti.

Penolong Setiausaha Pas Sarawak, Syamsul Bahrie Mohamad berkata Pas bakal bertanding di DUN Kemena, Beting Maro, Semariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Jepak, Lambir, Pujut dan Samalaju.

“Sembilan daripada 11 DUN adalah kawasan baru ditandingi namun senarai calon belum dimuktamadkan setakat ini,” katanya menurut laporan Astro Awani.

Tambahnya lagi, ia akan diumumkan sebaik sahaja senarai akhir calon dimuktamadkan, selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penting PRN12 Sarawak.

“Pas mempunyai banyak calon yang berwibawa, berkaliber dan berkerjaya yang boleh kita ketengahkan untuk 11 kerusi yang kita tandingi.

“Dan tujuan utama Pas bertanding pada PRN 12 ini bukanlah untuk mengganggu GPS, namun ianya disifatkan sebagai menghidupkan amalan demokrasi,” tegas beliau.

Sementara itu, Setiausaha Pas Negeri Sarawak. Mohammad Ariffiriazul Paijo turut menyatakan bahawa jentera pilihan raya telahpun digerakkan secara sepenuhnya di peringkat negeri dan juga DUN bakal ditandingi.

“Dengan ini kita diisytiharkan bahawa kesiapsiagaan ini adalah bagi menyertai PRN12 yang bakal menyusul dengan menyenarai beberapa DUN untuk ditandingi,” tambahnya.

Malah, jelasnya Pas Sarawak berkeyakinan bahawa pertimbangan yang sewajarnya telah diperhalusi oleh kepimpinan Pas di peringkat Pusat dalam mencorakkan politik nasional dan negeri bagu memastikan natijah yang terbaik dalam PRN Sarawak yang bakal diadakan kelak.