Malaysia Dateline

Pas yakin kerjasama politik dengan BN, Bersatu sedia hadapi PRU-15

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hasan berkata, kerjasama politik terutamanya bersama BN dan Bersatu semakin mantap sekali gus bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurutnya dalam satu kenyataan di Harakahdaily, kerjasama ketiga-tiga parti tersebut sekaligus berjaya memperkukuhkan lagi kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menjadi ‘kerajaan hari ini’.

“Pas yakin parti-parti yang membentuk PN telah bersedia untuk memacu tenaga dan jentera bagi melengkapkan persiapan dan kesiapsiagaan barisan bersama termasuk memuktamadkan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU-15 meskipun tarikhnya belum diputuskan.

“Pas juga amat yakin kerjasama dan sikap bertoleransi semua anggota PN kini akan menguatkan lagi kedudukan kerajaan PN sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri-negeri sehingga ke akhir penggal,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, Pas akan terus komited mendukung dan mempertahankan kedudukan kerajaan PN bersama barisan Kabinetnya yang terdiri daripada semua parti-parti anggota tanpa menghiraukan segala spekulasi pihak pembangkang yang hanya berupa perang psikologi semata-mata.

“Adalah suatu fakta yang jelas bahawa kerjasama politik antara Pas dengan BN, khususnya Umno, telah dimuktamadkan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman pada 14 September 2019 sekaligus membentuk Muafakat Nasional (MN).

“Manakala kerjasama sehingga terbentuknya kerajaan Persekutuan ekoran kejatuhan Pakatan Harapan (PH) pada 29 Februari 2020, diikuti pemeteraian Memorandum Persefahaman oleh Pengerusi-Pengerusi dan Presiden-Presiden BN, PPBM, Pas dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak secara rasminya telah membentuk PN,” kata Takiyuddin lagi.

PH yang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) membentuk kerajaan dengan 139 kerusi menerusi komposisi empat parti komponen dengan sokongan Parti Warisan Sabah (Warisan) serta UPKO hanya mampu bertahan selepas 22 bulan apabila Bersatu dan 11 Ahli Parlimen PKR keluar dari gagasan itu.