Malaysia Dateline

Pas yakin kerjasama Umno-PKR tidak akan berlaku

Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan dan Strategi Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yakin Umno tidak akan menjalinkan kerjasama dengan PKR walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kemungkinan itu akan berlaku.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, keyakinan itu ada kerana Umno dan Pas sudah muafakat menerusi Muafakat Nasional (MN) serta sudah menandatangani piagamnya pada 14 September 2019.

“Takkan berlaku (kerjasama antara PKR dan Umno). Insya-Allah. Tidak ada sekiranya.

“Kita setiap dua minggu sekali adakan mesyuarat perundingan di peringkat induk antara Pas dan Umno. Rabu minggu depan akan ada satu lagi mesyuarat.

“Ia akan membabitkan 12 individu masing-masing merangkumi AJK Kerja Pas dengan Majlis Kerja Tertinggi Umno, Timbalan, Naib Presiden, Ketua Penerangan, Ketua Pemuda akan bermesyuarat untuk memperkasakan MN,” katanya.

Khairuddin Aman Razali

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Persatuan Pekilang Panel Malaysia dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), di kementeriannya, di Putrajaya hari ini.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja Pas Pusat itu berkata dakwaan Anwar itu hanya sebagai usaha pecah dan perintah yang sering digunakan oleh pembangkang.

“Boleh percaya ke cakap Ketua Pembangkang (Anwar). Sejarah membuktikan Ketua Pembangkang bercakap banyak yang kurang tepat. Apa yang dibuat oleh Ketua Pembangkang adalah usaha pecah dan perintah.

“Itu adalah kaedah pembangkang sebab dulu pun saya pembangkang. Taktik biasa sebenarnya,” katanya.

Sehubungan itu, Khairuddin menegaskan Pas memperkasakan MN dan dalam masa sama mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

“Kita mahu Pas, Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama untuk gagasan rakyat Malaysia dan Malaysia Prihatin,” tambahnya lagi.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tidak menolak kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan Umno walaupun perbincangan mengenainya masih belum dilakukan secara formal.

Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa kerjasama tersebut disokong beberapa pemimpin dan Ahli Parlimen daripada Umno serta ia akan menjadi kenyataan jika parti terbabit tekad memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Bagaimanapun, Presiden PKR itu berkata, masih terlalu awal untuk beliau memperinci inti pati perbincangan bersama pemimpin Umno.

Setakat ini, sembilan Ahli Parlimen dari PH dan parti-parti pembangkang menyatakan pendirian menolak kerjasama dengan Umno menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.