PAS yakin menang  4 kerusi termasuk Beting Maro

PAS yakin menang 4 kerusi termasuk Beting Maro

PAS yakin menang empat daripada 11 kerusi ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) Sabtu ini, lapor laman Sarawak Voice.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, “Setakat ini ada empat kawasan yang saya lihat berpotensi dan salah satu ialah Beting Maro.”

Pada PRN 2011, PAS yang diwakili Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus tewas kepada Razaili dengan majoriti undi sebanyak 391 undi. Namun kini, Ahmad Kerdee sudah menyertai Amanah, selepas parti itu berpecah dua.

DUN Beting Maro mempunyai 10,582 pengundi dengan 90 peratus daripadanya terdiri daripada kaum Melayu/Melanau.

Keyakinan itu disuarakan selepas meneliti potensi gerakan parti itu di beberapa kerusi dipertandingkan.

“Saya harap jentera parti akan tambah kelajuan bekerja, serta terus memantau pengundi menjelang hari mengundi,” katanya ketika ditemui akhbar berkenaan di Markas PAS Beting Maro di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali dan calon PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro, Hamidah Mokhtar.

Calon BN Dun Beting Maro, Razaili Gapor akan ditentang Hamidah, 26, seorang usahawan, dan calon Parti Amanah Negara (Amanah),  Andre Zulkarnaen Hamden.

Adre adalah bekas Ketua Penerangan PAS Sarawak yang kini menyertai Amanah.

Dalam usaha untuk menggempur kubu BN, banyak pekerja parti, terutama dari Kelantan berkampung di perkampungan di Beting Maro dan Pusa, kawasan majoriti Melayu.

Antara isu di kawasan ini ialah bekalan air bersih, jalan raya yang masih menggunakan kayu jeti, sedangkan penduduk mahu jalan berturap, isu tanah NCR, sistem internet yang sering bermasalah, kenaikan harga barang, dan janji wakil rakyat yang belum dipenuhi.

Pada 2011, PAS bertanding di lima kerusi, dan tewas kesemuanya.

Sementara itu, Sarawak Voice juga melaporkan, 10 kawasan yang menjadi pertempuran sengit kali ini.

Kawasan itu adalah Batu Kawah, Mambong, Ba Kelalan, Bawang Assan, Dudong, Pujut, Piasau, Senadin, Telang Usan dan Repok.

TAGS