Pas yakin PRK Dun Semenyih matangkan hubungan kerjasama dengan Umno

Pas yakin PRK Dun Semenyih matangkan hubungan kerjasama dengan Umno

Pas Selangor yakin Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih bakal mematangkan lagi hubungan kerjasamanya dengan Barisan Nasional (BN) khususnya Umno demi merampas kembali kerusi berkenaan daripada Pakatan Harapan (PH).

Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berkata berdasarkan pengalaman dalam beberapa PRK baru-baru ini, parti itu akan menggerakkan sepenuhnya jentera Pas sebagai komitmen bagi memenangkan calon Umnoyang bertanding pada PRK Dun Semenyih.

Beliau berkata pihaknya akan memberi tumpuan untuk memastikan 6,996 pengundi Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, bakal mengundi calon BN pada PRK berkenaan.

“Fokus kita adalah untuk kekalkan undi Pasyang kita dapat dan memastikan mereka mengundi calon BN malah sasar untuk menambah lagi 20 peratus undi. Kita akan memberi komitmen (kepada BN dan Umno) kerana nada (komitmen) ini diterima daripada Pas Pusat.

“Jentera PAS akan turun sepenuhnya bersama dengan BN dan kita akan pastikan bilik-bilik gerakan PAS akan turut beroperasi pada PRK ini,” katanya dalam sidang media bersama pemimpin Umno Selangor di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Naib Presiden Umno yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata enam nama disenarai pendek dan dihantar kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan sebagai calon PRK Dun Semenyih.

Katanya, enam nama itu merangkumi calon daripada sayap Wanita serta Pemuda Umno Bahagian Semenyih selain menampilkan calon daripada golongan profesional.

Sementara itu, bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Semenyih Datuk Johan Abdul Aziz menyatakan bahawa beliau tidak akan bertanding pada PRK itu sebaliknya akan bertindak sebagai pengarah jentera pilihan raya BN.

“Saya beri peluang dan laluan kepada sahabat dalam BN khususnya UMNO (untuk bertanding). Semua calon yang disenarai pendek itu merupakan pengundi di Dun Semenyih,” katanya.

Pada Jumaat lepas, Pas Pusat memutuskan untuk tidak meletakkan calon pada PRK DUN Semenyih sebaliknya akan menggerakkan jentera bagi membantu BN.

PRK Dun Semenyih akan diadakan pada 2 Mac ini dan penamaan calon ditetapkan pada 16 Februari, manakala hari mengundi awal pada 26 Februari.

PRK berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung.

Pada PRU-14, Allahyarham yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memperoleh 23,428 undi menewaskan tiga calon lain iaitu Johan, Mad Shahmidur Mat Kosim (Pas) dan S. Arutchelvan (PSM) dengan majoriti 8,964 undi.- BERNAMA