Di dalam pemerhatian saya, media sosial telah membawa satu fenomana di dalam masyarakat – pura-pura terkejut. Ini adalah berkenaan reaksi kepada satu-satu perkara apabila ianya ditularkan sedangkan mereka telah menormalisasi perkara berkenaan.
Oleh kerana kita pernah dijajah oleh Inggeris, sukan-sukan yang dimainkan oleh orang Inggeris seperti bolasepak, rugbi dan kriket juga menjadi kesukaan kita. Bagi peminat bolasepak, ramai yang menyokong pasukan-pasukan yang bertanding di dalam Liga Premier Inggeris (EPL). Saya menyokong pasukan Liverpool semenjak dari kecil lagi.
Perasankah anda jenis-jenis perniagaan yang menjadi penaja pasukan-pasukan berkenaan? Banyak syarikat-syarikat yang terlibat dengan riba dan judi menjadi penaja utama. Contohnya Liverpool ditaja oleh Standard Chartered yang merupakan sebuah bank.
Ada banyak pasukan yang ditaja oleh syarikat-syarikat judi. Oleh kerana judi bolasepak dikira “halal” di sana, “odd” atau kemungkinan untuk menang bagi setiap pasukan untuk tujuan perjudian akan dikeluarkan sebelum perlawanan bermula. Malah, ada iklan judi dibuat ketika perlawanan sedang berjalan.
Di samping mengutip bayaran tiket untuk menonton perlawanan di stadium, pasukan bolasepak di EPL mempunyai banyak sumber pendapatan lain untuk menampung kos pengurusan mereka. Di antaranya ialah penajaan. Lagi hebat satu-satu pasukan, tentunya bayaran penajaan lebih mahal. Penaja boleh mempromosikan perniagaan mereka di stadium, di jersey pemain dan di dalam lain-lain aktiviti. Maknanya, mereka nampak potensi untuk memperkembangkan perniagaan apabila jenama atau pun produk mereka dipromosi melalui pasukan-pasukan bolasepak EPL ini.
Oleh kerana masyarakat Barat tidak mahu iklan-iklan rokok dan arak dipamirkan secara terbuka, kita tidak mendapati syarikat-syarikat berkenaan menjadi penaja. Jika tidak, tentunya mereka juga akan mengambil peluang untuk menjual jenama mereka di dalam sukan seperti di EPL.
Jika dikira dari segi tidak mahu terlibat dengan riba dan judi, hanya pasukan seperti Manchester United, Manchester City dan Chelsea yang nampaknya tidak mempromosi perkara-perkara yang diharamkan oleh Shariah.
Ada berani? Bagi sesetengah orang, menukar pasukan bola yang disokong lebih berat dari menukar mazhab ? Walaupun saya ada beberapa set jersey Liverpool, saya tidak memakainya kerana jenama penaja yang terpampang.
Bagi yang menyokong pasukan-pasukan bolasepak di liga-liga lain, saya nampak perkara yang sama turut berlaku. Perhatikanlah sahaja logo-logo yang tertampal dijersey atau pun iklan-iklan yang dimainkan di papan-papan iklan elektrik ketika permainan sedang berlansung.
Saya hanya mahu menginggatkan diri sendiri berkenaan realiti di sekeliling kita supaya tidak terkejut dengan perkara-perkara yang tular. Elok tengok juga kiri kanan kita dan dapatkan maklumat yang membolehkan kita memahami apa yang sebenarnya berlaku.
Lepas tu kalau nak komen juga, kita komen dengan kefahaman, bukan mengikut rentak jari apabila emosi dijentik, mungkin dengan sengaja oleh penular berita.
Penulis adalah bekas CEO Tabung Haji. Tulisan ini disiarkan dalam facebook beliau.