Malaysia Dateline

Pasangan Malaysia terus tampil aksi terpuji di Piala Dunia Golf

Biarpun berdepan cuaca mencabar, pemain golf profesional Malaysia, Gavin Kyle Green dan Ben Leong terus menampilkan aksi terpuji pada Kejohanan Piala Dunia Golf 2018 di Kelab Golf Metropolitan, Melbourne, Australia, hari ini.

Pasangan negara itu kini berkongsi di kedudukan ketiga bersama-sama gandingan Andrea Pavan-Renato Paratore dari Itali; Anirban Lahiri-Gaganjeet Bhullar (India); serta Tyrrell Hatton-Ian Poulter (England), dan hanya ketinggalan dua pukulan daripada pendahulu bersama.

Gandingan Belgium, Thomas Pieters-Thomas Detry dan pendahulu bersama semalaman dari Korea Selatan, An Byeong hun-Kim Siwoo berkongsi di kedudukan teratas selepas dua pusingan dengan mencatat keseluruhan 10 bawah par 134.

Dalam aksi hari ini yang berlangsung menggunakan format pukulan alternatif, pasangan Malaysia itu melakukan satu atas par 73, sekali gus mencatat keseluruhan lapan bawah par 136 selepas dua pusingan.

Saingan kejohanan berkenaan akan kembali dengan format ‘fourballs’ (catatan terbaik) esok untuk pusingan ketiga, manakala pusingan akhir akan dilangsungkan dengan format pukulan alternatif pada Ahad.

“Saya merasakan strategi kita ‘menjadi’ setakat ini dan berharap ia akan terus membuahkan hasil. Kita lihat apa akan berlaku dalam masa dua hari seterusnya,” kata Green.

PENDAHULU SELEPAS PUSINGAN KEDUA:

134 – Belgium (Thomas Pieters/Thomas Detry) 63-71, South Korea (An Byeong-Hun/Kim Si-woo) 62-72;

136 – Italy (Andrea Pavan/Renato Paratore) 65-71, India (Anirban Lahiri/Gaganjeet Bhullar) 64-72, MALAYSIA (Gavin Green/Ben Leong) 63-73, England (Tyrrell Hatton/Ian Poulter) 62-74;

137 – Mexico (Abraham Ancer/Roberto Diaz) 67-70;

138 – Scotland (Russell Knox/Martin Laird) 67-71, Australia (Mark Leishman/Cameron Smith) 62-76;

139 – France (Alexander Levy/Michael Lorenzo-Vera) 66-73, Sweden (Alexander Bjork/Joakim Lagergren) 65-74.

— BERNAMA