Malaysia Dateline

Pasangan yang berkahwin tanpa kebenaran di Kelantan ‘diputihkan’ mulai hari ini

Program Pemutihan Pendaftaran Perkahwinan Luar Negara Tanpa Kebenaran dilaksanakan selama tiga bulan bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), Datuk Che Abdul Rahim Jusoh, berkata menerusi program itu, mana-mana pasangan yang berkahwin di luar peraturan iaitu tanpa kebenaran dan berlawanan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002 sebelum 2005 diminta tampil mendaftarkan perkahwinan mereka.

Sehingga kini, jelasnya, masih terdapat pasangan suami isteri di Kelantan belum mendaftarkan perkahwinan yang mungkin disebabkan tidak mengetahui prosedur atau tidak mampu membayar denda dikenakan Mahkamah Syariah.

“Kita mahu mereka tampil di pejabat agama bagi membolehkan perkahwinan mereka disahkan oleh mahkamah dari segi undang-undang dan hukum syarak.

“Bagi pasangan yang berkahwin mengikut syarak kita akan permudahkan dan bagi pasangan yang kita dapati khuatir dari segi kesahihan, kita akan angkat kepada mahkamah untuk pengesahan.

“Sekiranya ada denda, kita akan melalui Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) dan hanya denda minimum dikenakan. Apa yang penting kita mahu memastikan perkahwinan pasangan itu menepati kehendak hukum syarak,” dipetik BH.

Menurut Che Abdul Rahim, pihaknya turut akan mempertimbangkan pasangan yang berkahwin selepas 2005 dan mahu membuat pendaftaran.

Beliau mengingatkan perkahwinan yang tidak didaftarkan akan menimbulkan masalah dari sudut penentuan keturunan, kesukaran memohon sijil kelahiran, menyukarkan pendidikan anak-anak selain masalah dalam membuat tuntutan berkaitan harta dan sebagainya.