Malaysia Dateline

Pasar Awam Pengakalan Hulu mesti dimanfaatkan

Pelbagai projek sakit pada zaman BN mesti disempurnakan dengan segera kerana ia telah memberi kesan yang amat buruk kepada penduduk setempat.

Selain dari kerugian yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan, premis yang telah siap tidak dapat digunakan sehingga kini dan menyukarkan rakyat.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Cabang PKR Gerik, Perak, Md Yunus Yusuf ketika ditemui semasa meninjau pasar awam Pekan Pengkalan Hulu yang tidak dapat beroperasi walaupun telah siap dibina sejak tahun 2010 lagi.

“Pasar awam tersebut amat diperlukan bagi penduduk kawasan Pengkalan Hulu memandangkan ia berada ditengah pekan.

“Premis ini sepatutnya sudah dapat digunakan sejak sekian lama, namun begitu sehingga kini ia masih lagi menyakitkan mata memandang.

“Pasar tersebut kini dipenuhi dengan tumbuhan liar dan menjadi tempat vandalism mereka yang tidak bertangungjawab, ” ujarnya ketika ditemui.

Menurut Md Yunus lagi, pihak berkuasa tempatan seharusnya mengambil tindakan segera membaiki semula pasar tersebut dan beroperasi dengan kadar segera.

Malah katanya, penduduk sekitar kawasan Pekan Pengkalan Hulu amat mengharapkan kerajaan dapat mengambil tindakan drastik dengan memastikan segala projek sakit zaman BN dahulu dapat diatasi dengan segera.

“Kedudukan pasar ini begitu hampir dengan hentian bas serta Pekan Pengkalan Hulu.

“Ia juga mempunyai tempat parkir yang sempurna dan harus beroperasi dengan secepat mungkin.

“Oleh kerana itu ujarnya, tindakan segera mesti dilaksanakan bagi memastikan kerugian yang telah berlaku sejak zaman BN dahulu dapat diatasi dan memberi manfaat kepada penduduk setempat, ” tambahnya lagi.

M.Sri Moga, yang juga merupakan penduduk Pengkalan Hulu ketika ditemui berharap pasar tersebut dapat beroperasi dengan segera.

“Sekiranya pasar ini dapat digunakan ia memberi banyak kemudahan kepada kami.

“Ia mempunyai tempat parkir yang luas dan berdekatan dengan hentian bas serta pekan.

“Jika ia dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin, sudah pasti penduduk kawasan ini amat berterima kasih kepada kerajaan kerana ia memberi banyak kebaikan kepada kami, ” tegasnya.

Tinjauan yang dibuat juga mendapati gerai yang telah siap dibina masih lagi sempurna walaupun telah dibiarkan begitu lama.

Manakala bumbungnya telah rosak dan bahan seperti besi serta pendawaian telah pun hilang dan rosak.

Kedudukannya bersebelahan dengan hentias bas dan juga pusat komersial Pekan Pengkalan Hulu memberi banyak kemudahan kepada penduduk sekiranya ia dapat beroperasi dengan segera.