Malaysia Dateline

Pasar Datuk Keramat terbakar 40 gerai peniaga Melayu musnah

Pasar Datuk Keramat yang berusia lebih 50 tahun mengalami kebakaran sekitar jam 5.30 petang tadi sehingga memusnahkan lebih 40 gerai.

Majoriti peniaga di kawasan Pasar Datuk Keramat adalah dalam kalangan Bumiputera yang menjual barang basah, makanan, pakaian dan perkakas rumah.

Kebakaran berjaya dikawal sekitar jam 6.30 petang tadi, bagaimanapun tiada kehilangan nyawa atau kecederaan dilaporkan.

Kejadian itu turut tular dalam media sosial apabila video menunjukkan orang ramai berusaha memadam kebakaran besar yang memusnahkan deretan gerai beratap zink itu.

Komander Operasi Kanan, Mohd. Suhaimi Mohd. Razali berkata, jentera dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat, BBP Setapak, BBP KLCC, BBP Hang Tuah dan BBP Wangsa Maju ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.

Sebelum ini, Keramat Mall yang dibina penghujung tahun 90-an dengan tujuan asalnya adalah bagi menggantikan Pasar Datuk Keramat yang sudah agak uzur.

Malangnya, pembinaan tersebut menghadapi pelbagai masalah sehingga termasuk dalam statistik projek terbengkalai.

Pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan pembinaannya diteruskan bagi kemudahan rakyat.

Akhirnya, Keramat Mall dibuka untuk aktiviti perniagaan sejak 2011 tetapi hanya beberapa premis yang beroperasi, itupun kebanyakannya hanya kedai-kedai makan.