Malaysia Dateline

Pasar malam, kedai gunting rambut, cuci kereta boleh dibuka hingga 10 malam

Akhirnya, peniaga pasar malam, pengusaha kedai gunting rambut dan pusat cuci kereta boleh menarik nafas lega.

Mulai esok, ketiga-tiga jenis perniagaan tersebut dibenarkan beroperasi dengan syarat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi perniagaan terbabit juga dibenarkan sehingga jam 10 malam.

Dalam sidang media harian di Kementerian Pertahanan sebentar tadi, Ismail memaklumkan operasi pasar malam dibenarkan bermula jam 4 petang hingga 10 malam.

Beliau juga menegaskan pematuhan ketat SOP iaitu jarak gerai satu meter antara satu sama lain dan hanya satu jalan masuk dibenarkan disertai pengawasan ketat pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Untuk kedai gunting rambut hanya khidmat gunting rambut dibenarkan. Rawatan muka, kecantikan tidak dibenarkan.

“Petugas mesti mematuhi SOP ketat iaitu memakai pelindung muka, pelitup muka, apron pakai buang, sarung tangan dan alat mesti dibersihkan menggunakan air panas setiap kali selesai untuk setiap pelanggan,” katanya.

Sebelum ini, ramai pengusaha kedai gunting rambut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ekoran larangan beroperasi.

 

Ramai pengusaha kedai gunting rambut hilang sumber pendapatan akibat larangan beroperasi ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).