Malaysia Dateline

Pasar Nelayan berjaya tingkatkan pendapatan, kurangkan kos sara hidup rakyat

Kewujudan pasar nelayan mampu meningkatkan pendapatan golongan itu sekaligus menurunkan kos sara hidup dalam usaha kerajaan untuk membela kebajikan rakyat.

Perkara itu ditegaskan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil yang menyatakan, sebanyak 23 buah pasar nelayan akan dinaiktaraf di seluruh negara dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM3 Juta.

Jelasnya, penaiktarafan tersebut membuktikan inisiatif kerajaan yang komited memerangi orang tengah dalam sektor perikanan demi menyediakan hasil laut yang lebih murah.

“Dengan pembinaan pasar nelayan, hasil tangkapan yang dijual di pasar ini lebih murah berbanding di tempat lain kerana ia dijual secara terus kepada pengguna tanpa melalui rantaian bekalan.

“Pada tahun ini sahaja sebanyak empat buah pasar nelayan baharu dijangka akan dibina di Pulau Meranti, Sandakan, Parit Simin, dan Kuala Pilah,” katanya semasa Majlis Perasmian Pasar Nelayan Nyiur Tujuh, Besut, pada Selasa.

Turut hadir, Pengarah LKIM Terengganu, Tengku Anuar Tengku Mahmood; Pengarah FAMA Terengganu Fauzi Mohamed; serta Pegawai Mardi dan Jabatan Perikanan.

Sementara itu, beliau menzahirkan komitmen LKIM untuk membina lebih banyak pasar nelayan pada masa akan datang bagi memastikan rakyat memperoleh hasil perikanan yang lebih murah.

Dalam majlis tersebut juga, beliau menyampaikan peralatan tangkapan ikan berbentuk enjin bot, peti ikan, dan pukat kepada 31 orang nelayan terpilih di daerah Besut.

Malah menurutnya, program hari ini juga melibatkan jualan murah hasil tangkapan laut yang dikendalikan beliau sendiri bersama LKIM Terengganu dan Persatuan Nelayan Kawasan Besut.

Faiz Fadzil cuba melayan pelanggan yang datang untuk membli ikan di  Pasar Nelayan Nyiur Tujuh Bessut semalam.