Pasaran kewangan Maalaysia kekal berdaya tahan, kata BNM

Pasaran kewangan Maalaysia kekal berdaya tahan, kata BNM

Pasaran kewangan Malaysia kekal berdaya tahan dalam keadaan pasaran modal, pasaran pertukaran asing dan pasaran wang terus teratur, disokong oleh mudah tunai domestik yang lebih daripada mencukupi, infrastruktur pasaran yang teguh dan asas makroekonomi yang kukuh.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), pasaran bon tempatan terus memberangsangkan dengan pasaran sekunder yang mendalam dengan jumlah dagangan harian purata RM5.4 bilion setakat tahun ini berbanding purata tiga tahun lalu berjumlah RM3.6 bilion.

“Mudah tunai dalam pasaran pertukaran asing mencatatkan jumlah dagangan harian purata yang mampan sebanyak USD12 bilion, dengan akaun swap pertukaran asing dan akaun pasaran hadapan mencakupi hampir separuh daripada jumlah purata,” menurut BNM dalam kenyataan bersama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini.

BNM mengadakan pertemuan hari ini dengan SC di Mesyuarat Dua Hala BNM dan SC Ke-16 untuk berbincang lebih lanjut mengenai bidang kepentingan bersama kedua-dua pihak berkuasa, termasuk inisiatif berkaitan kemampanan, pengawalan terhadap aset digital dan daya tahan pasaran kewangan.

Kedua-dua pihak berpendapat peningkatan aktiviti perlindungan nilai yang dinamik oleh pelabur institusi global telah menjadikan akses kepada pasaran lebih baik dan seterusnya menambah mudah tunai dalam pasaran hadapan pertukaran asing.

“BNM dan SC akan terus mengadakan perbincangan dengan peserta utama pasaran dan pengantara untuk menambah kedalaman dan keluasan pasaran kewangan Malaysia bagi memastikan pasaran boleh terus diakses dan pada masa yang sama, kestabilan dan ketelusan pasaran kekal terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Turut dibincangkan termasuk inisiatif berkaitan agenda kemampanan, terutamanya Rangka Kerja Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI), SC dan Strategi Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI), BNM.

Memandangkan SRI dan VBI adalah sejajar, kedua-dua pengawal selia bersetuju memulakan kajian penyelidikan secara bersama untuk membentuk taksonomi yang jelas mengenai aktiviti ekonomi yang mampan, bermula dengan aktiviti pemerolehan dana dan amalan pemberian pinjaman.

“Satu lagi bidang yang sedang dikaji ialah pemahaman mengenai penyebaran risiko berkaitan dengan iklim dan alam sekitar terhadap sistem kewangan dan ekonomi, serta penggunaan sebahagian output sesuatu situasi untuk input baharu,” kata pengawal selia tersebut.

Inisiatif ini merupakan lanjutan kepada kerjasama sedia ada antara kedua-dua pihak berkuasa dalam bidang kepentingan strategik negara, khususnya dalam kewangan Islam.

Berhubung pengawalan terhadap aset digital, kedua-dua pihak berkuasa tersebut telah memeterai pengaturan penyelarasan yang akan memudahkan inovasi industri, aktiviti pemerolehan dana bagi syarikat yang baru memulakan operasi dan perdagangan aset digital.

Pengaturan ini juga akan menyokong pengawasan aktiviti aset digital dan memastikan risiko sistemik dan langkah-langkah integriti kewangan terus berkesan.

– BERNAMA