Malaysia Dateline

Pasaran tempatan lembap akibat ketidaktentuan perkembangan ekonomi luaran

Pasaran tempatan kebanyakan lembap minggu ini, mengambil isyarat daripada beberapa faktor ketidaktentuan, termasuk berita bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan terus mengetatkan dasar monetarinya, penurunan harga minyak global juga pasca pilihan raya pertengahan AS.

Kebanyakan pelabur mengubah kepentingan mereka kepada aset lebih selamat selepas Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pertumbuhan global yang perlahan, meramalkan pertumbuhan global untuk 2018-2019, 3.7 peratus.

Harga minyak juga dalam aliran menurun pada kebanyakan hari dalam minggu ini dengan minyak Texas West Intermediate dan Brent masing-masing susut di bawah US$60 dan US$70 setong pada Rabu, disebabkan oleh bekalan yang meningkat daripada AS dan jangkaan bahawa permintaan akan goyah akibat kelembapan ekonomi.

Bagaimanapun, seorang peniaga berkata, pemulihan ekonomi berlaku sedikit bermula Khamis selepas laporan berita bahawa Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan rakannya membincangkan cadangan untuk memotong pengeluaran sehingga 1.4 juta tong sehari (bpd).

Data inflasi AS yang sederhana dikeluarkan pada Rabu serta komen yang berhati-hati berkenaan unjuran ekonomi yang dijelaskan Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell, memberikan peluang kepada mata wang tempatan untuk pulih.

Pemulihan ringgit menyebabkan pasaran komoditi meningkat sedikit permintaannya dalam kalangan peniaga untuk menyimpan stok mereka menjelang hujung minggu

Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidik Pasaran FXTM Global, Jameel Ahmad, berkata mata wang tempatan melalui minggu yang aneh minggu ini, bergelut untuk mencari arah, sama juga keadaannya dengan pasaran serantau pada kebanyakan hari dalam minggu ini.

“Ringgit memperlihatkan daya tahan terhadap kenaikan terkini kadar faedah AS dan harga minyak yang meningkat ke paras tertinggi sejak 2014, tetapi ia memberikan pengakhiran minggu dalam tekanan selepas pengesahan ekonomi AS berkembang melebihi 4.0 peratus yang menggalakkan pembelian dolar AS pada petang Khamis,” katanya.

Sementara itu, di pasaran saham, perkembangan luaran yang tidak begitu menarik terus mempengaruhi minat pelabur asing minggu ini dengan jualan meningkat berbanding minggu lepas.

Bagi tempoh Isnin ke Jumaat, jualan asing berjumlah RM457.87 juta berbanding RM182.9 juta minggu lepas.

Pelabur asing berubah kembali kepada jualan bersih sejak minggu lepas selepas pembentangan Belanjawan 2019.

Sebaliknya, pasaran menyaksikan penyertaan aktif institusi tempatan dengan RM359.06 juta jumlah belian untuk tempoh Isnin hingga Khamis berbanding prestasi belian minggu lepas.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata terdapat kebimbangan terhadap harga minyak terutama apabila Brent didagangkan di bawah USD70 setong.

Katanya, ketidakseimbangan pasaran terhadap pasaran minyak mentah masih berleluasa yang mana bekalan masih berlebihan.

“Kita juga percaya pasaran akan memerhatikan dengan rapat perkembangan berkaitan mesyuarat antara Presiden Trump dengan Xi Jinping menjelang hujung November sewaktu Sidang Kemuncak G20.

“Terdapat juga perbincangan mengenai Brexit dan rundingan Belanjawan 2019 Itali dengan Suruhanjaya Eropah, yang mana berpotensi menjejaskan sentimen pelabur. Singkatnya, ia akan menjadi berhati-hati dan pelabur mungkin meneruskan strategi pertahanan,” katanya kepada Bernama.

Berkenaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2018, ia adalah di bawah jangkaan pasaran disebabkan penguncupan dalam eksport bersih dan pelaburan awam.

Bagaimanapun, perbelanjaan pengguna kekal dengan pertumbuhan pesat disaksikan pada 9 peratus yang mana melebihi tahap aliran berkenaan.

“Pelaburan persendirian terus berkembang sihat, yang memperlihatkan bahawa syarikat mengembangkan kapasiti pengeluaran mereka. Justeru sektor swasta adalah pemacu utama. Untuk masa hadapan, unjuran kekal tidak menentu terutama perang perdagangan, peningkatan kadar faedah di AS dan perkembangan ekonomi lain. Justeru, ia akan menjadi prospek yang mencabar tahun hadapan,” katanya.

— BERNAMA