Pasca Belanjawan 2020: Guan Eng minta kerajaan Sarawak lebih bertimbang rasa

Pasca Belanjawan 2020: Guan Eng minta kerajaan Sarawak lebih bertimbang rasa

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini meminta kerajaan negeri Sarawak supaya lebih bertimbang rasa terhadap peruntukan yang diterima dalam pembentangan Belanjawan 2020 semalam.

Sebagai rekod, Sarawak adalah negeri kedua penerima peruntukan bajet terbesar selepas Sabah.

Beliau berkata, dalam pembentangan Belanjawan 2020 semalam, pihaknya telah menaikkan peruntukan kepada negeri tersebut hampir 100 peratus.

“Walaupun kami sudah menambahkan peruntukan, mereka masih tak puas hati. Memang susahkan nak puaskan hati mereka.

“Mereka mendapat peruntukan yang tidak pernah kerajaan sebelum ini berikan kepada mereka. Jika ketika kerajaan lama mentadbir, mereka boleh pula berpuas hati sungguhpun mendapat kekurangan peruntukan.

“Sekarang mereka dapat (peruntukan) lebih, mengapa masih tidak berpuas hati lagi? Itu yang saya kurang faham. Ketika di bawah pentadbiran kerajaan lama, mereka dapat kurang.

“Macam saya sebut semalam, semakan tidak dibuat sejak 1969. Kemudian kita buat semakan dan tambah sekali ganda iaitu 100 peratus. Itu pun tak puas hati,” katanya dalam sidang media Pasca Belanjawan 2020 di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bagan itu mengadakan taklimat tertutup bersama Exco-exco Kerajaan negeri berhubung Belanjawan 2020 yang dibentangkan semalam.

Mengenai peruntukan kepada Sabah dan Sarawak itu, Guan Eng menyifatkan pemberian peruntukan itu melambangkan Kerajaan Persekutuan amat mementingkan pembangunan di dua negeri berkenaan.

Semalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian menyifatkan belanjawan daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai belanjawan berpaksikan Semenanjung Malaysia.

Menurut beliau, kerajaan PH gagal menunaikan janji mereka, iaitu sekurang-kurangnya 30 peratus bagi Sabah dan 16 peratus bagi Sarawak daripada peruntukan pembangunan keseluruhan belanjawan.