Malaysia Dateline

Pasca Covid-19: Rancang jalan keluar, fokus pekerja tidak bergaji tetap

Kerajaan perlu merancang segera jalan keluar pasca Covid-19 yang mengambil kira strategi untuk menggerakkan semula ekonomi negara selepas melalui hampir dua bulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang hampir melumpuhkannya.

Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, rangsangan kedua pasca Covid-19 ini adalah penting untuk negara berhadapan dengan impak yang lebih besar selepas berakhirnya wabak berkenaan terutama kepada golongan yang tidak berpendapatan tetap.

“Landasan awal ketika ini sangat baik, tapi pada masa sama, kerajaan kena fikir apa dia landasan kedua yang lebih memerlukan rangsangan fiskal yang lebih berkesan untuk hidupkan ekonomi.

“Sekiranya kerajaan melonggarkan PKP pada 12 Mei ini dengan membenarkan beberapa perniagaan beroperasi, kita kena kenal pasti perniagaan apa yang boleh dan tak boleh dibuka.

“Di sinilah perlu untuk kita meletakkan zoning. Maknanya, mana yang kita rasa sangat penting kepada negara, kita zon kan mereka ini sebagai dibenarkan beroperasi,” kata bekas Menteri Kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu dalam satu sesi siaran langsung di aplikasi zoom, dan disiarkan melalui facebook beliau semalam.

Tambah Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar itu lagi, pada landasan kedua itu kelak, kerajaan perlulah memberi tumpuan kepada sektor ‘hardcore’ yang betul-betul terkesan akibat pandemik global yang menyerang dunia.

Malah menurutnya, kerajaan sudah perlu menjadi lebih selektif dalam keadaan kantung negara agak terhad untuk menyediakan sumber kewangan, agar sasaran yang perlu dibantu mendapat bantuan sewajarnya.

Ujar beliau, jika ketika ini kerajaan memberi tumpuan kepada penjawat awam yang mempunyai gaji tetap, adalah lebih baik sekiranya kerajaan memberi tumpuan pula kepada sektor swasta yang dikenalpasti menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Kalau sekarang kita fokus pada penjawat awam yang ada pendapatan tetap, mungkin dalam fasa kedua ini kita perlu beri tumpuan pada sektor swasta yang betul-betul terkesan.

“Kerajaan kena jadi lebih selektif dan tak boleh pukul rata. Pegawai-pegawai yang tak ada gaji tetap inilah yang kita kena tengok kedudukan mereka,” ujar bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Menurutnya lagi, dalam keadaan negara-negara berhadapan masalah yang sama, maka tiada satu model yang dapat dicontohi melainkan semua negara ketika ini perlu berlajar antara satu sama lain untuk melihat model-model terbaik.

“Sekarang ini kita tak ada model. Kerana semua negara masing-masing ‘try and error’. Di sinilah saya rasa negara-negara perlu belajar antara satu sama lain untuk melihat model-model yang terbaik,” katanya.

Pada masa sama, Mujahid turut mendakwa sehingga kini masih belum ada maklumat daripada kerajaan mahupun menteri yang terlibat untuk memberikan garis panduan tentang strategi keluar yang sepatutnya dibincangkan.

Beliau berkata, kerajaan melalui setiap kementerian seharusnya perlu mempunyai satu polisi untuk menggariskan input strategi keluar bagi berhadapan situasi selepas berakhirnya wabak Covid-19.

Menurutnya lagi, sekiranya kerajaan masih tiada strategi keluar dengan polisi yang jelas dan bermaklumat, ianya dikhuatiri hanya akan menimbulkan isu terhadap keyakinan pelabur sehingga menyebabkan para pelabur akhirnya akan ‘lari’.