Malaysia Dateline

Pasca Daroyah keluar PKR: AWAN Selangor gesa kembalikan mandat kepada rakyat

Wanita Amanah (AWAN) Negeri Selangor menggesa agar satu rang undang-undang dirangka agar mereka yang meninggalkan atau melompat parti mengembalikan mandat kepada rakyat.

Ketuanya, Rawiyiah Zakaria berkata, pihaknya mengutuk sebarang usaha yang menimbulkan ketidak stabilan sesebuah kerajaan yang absah.

Menurutnya, kerajaan tanpa mandat rakyat merupakan suatu pengkhianatan kepada sistem demokrasi kerajaan berparlimen di negara ini.

“Kerajaan tanpa mandat rakyat adalah suatu pengkhianatan bukan hanya kepada sistem demokrasi tetapi kepada rakyat yang memilih parti pemerintah atas dasar manifesto dan janji perubahan bagi satu penggal sehingga pemilihan yang akan datang,” katanya.

Kelmarin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Dr Daroyah Alwi mengumumkan keluar PKR dan meletakkan kesemua jawatan dalam parti itu.

Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat berkata, keputusan itu dibuat kerana sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu diterajui Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas tindakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu, Rawiyiah berkata, pihaknya yakin Wanita PKR negeri mempunyai kemampuan yang tinggi untuk menyusun semula organisasi parti tersebut.

“Ahli Dewan Negeri (ADN) yang melanggari mandat rakyat sehingga tergoyah kerajaan yang absah semasa pilihan raya adalah mereka yang tiada berprinsip dan tidak mungkin dapat memberi khidmat yang terbaik kepada pengundi mereka khususnya, dan rakyat Selangor umumnya.

“Kami AWAN Negeri Selangor merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Wanita Keadilan Rakyat Negeri Selangor yang masih kekal berprinsip dan teguh dalam meneruskan agenda reformasi serta mempertahankan mandat rakyat Selangor,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru kepada semua barisan kepimpinan Wanita Pakatan Harapan (PH) untuk tidak lagi menoleh ke belakang dan maju terus untuk memimpin.

Beliau juga menasihatkan Wanita PH menumpukan gerak kerja bersama dalam membawa agenda reformasi dengan pelbagai program kemakmuran untuk rakyat negeri itu.

“Tanpa prinsip dan amanah, generasi akan datang mereput dalam kezaliman dan ketidakadilan,” tambah Rawiyiah lagi.