Pasca Graduasi: Persoalan Dan Kehidupan

Pasca Graduasi: Persoalan Dan Kehidupan

Menerima segulung ijazah pada hari konvokesyen merupakan satu detik istimewa yang menjadi penantian buat rata-rata mahasiswa. Detik yang bersejarah itu akan menjadi satu pengiktirafan atas kelayakan para graduan terhadap tahap kelulusan akademik mereka.

Sudah menjadi istiadat tahunan bagi setiap universiti di Malaysia bagi meraikan para pelajar yang sudah tamat belajar dan bakal menjejaki kehidupan sebenar, berbekalkan pengalaman dan ilmu pengetahuan yang telah ditimba.

Justeru, saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan sekalung tahniah kepada para siswa dan siswi yang kini sudah bergelar graduan universiti setelah bertungkus lumus membina akal dalam masa mengutip seberapa banyak ilmu di tempat belajar masing-masing. Setelah berpenat lelah memerah otak dan mengikat perut, juga mengahadapi pelbagai pengalaman pahit dan manis bagi menyempurnakan pembelajaran kalian di peringkat universiti ini, akhirnya kalian berjaya merangkul segulung ijazah yang menjadi sasaran utama itu.

Keberlangsungan majlis istiadat konvokesyen ini, saya percaya telah menjadi pembakar semangat untuk para siswa dan siswi yang masih dalam sesi pengajian. Suasana yang bersejarah itu juga sudah pastinya menjadi dorongan terbesar kepada majoriti mahasiswa, untuk terus fokus dan memastikan motivasi dalaman terus menyala. Pun begitu, pasca konvokesyen kali ini, menjentik saya untuk berfikir sejenak tentang apa maksud sebenar bergelar graduan.

Graduan atau bakal siswazah ini diertikan sebagai pemegang ijazah akademik setelah menamatkan pembelajaran di peringkat universiti selama tempoh yang telah ditetapkan, dan juga telah menyempurnakan pembelajaran mengikut piawaian akademik atau ‘standard’ sesebuah universiti.

Melihat kepada definisi ini, saya dapat fahami bahawa menjadi graduan itu, adalah menjadi individu yang berisi mindanya dan tinggi tahap inteleknya. Pada saat tamatnya pembelajaran di peringkat ijazah sarjana muda mahupun diploma, saya seharusnya mampu untuk menjawab pelbagai persoalan akademik yang menjadi tanda tanya dalam ruang pemikiran saya ini. Apalah gunanya segulung ijazah jika keluarnya sebagai graduan, masih umpama tin kosong yang hanya gah memakai topi dan jubah ‘keramat’ itu.

Bukan sesuatu yang mudah untuk menerima gulungan ijazah itu, dengan sebenar-benar penerimaan. Saya masih berpegang kepada perjuangan bagi mendapatkan jawapan kepada persoalan akal bagi melayakkan saya menjadi seorang penerima ijazah yang berkualiti. Namun begitu, saban hari di dewan kuliah, bersama pensyarah, didampingi juga dengan timbunan bahan bacaan dan rujukan yang tidak akan pernah sudah, malah akan sentiasa berlaku penambahan, menyedarkan saya satu perkara.

Sesungguhnya, sifat ingin tahu dan sifat manusia sebagai sang pemikir itu akan menghasilkan beribu persoalan. Baik soalan yang memerlukan kepada jawapan, mahupun persoalan yang hanya perlu untuk dilepaskan. Dan fenomena akal ini tidak akan pernah berhenti selagimana kita diizinkan Tuhan untuk terus celik. Pada kebiasaanya juga, pertemuan jawapan kepada persoalan diatas persoalan adalah satu pertemuan yang sungguh memberi makna kepada diri kerana dia datang daripada kesungguhan.

Maka, perjuangan saya berubah daripada sekadar ingin memastikan setiap persoalan di dalam minda ini bertemu dengan jawapannya, yang mana, ia tidak akan pernah temu titik henti, kepada berjuang membina kehidupan.
Ya, graduan yang berkualiti itu, ialah graduan yang mana setiap detik hidupnya sepanjang pengajian, dimanfaatkan untuk pembangunan akal dan pembentukan peribadi. Yang mana apabila bergelar siswazah, dua entiti ini kekal menjadi identiti dalam kehidupan graduan tersebut.

Kehidupan sebegini tidak akan mampu untuk dicapai dengan semata-mata menelusuri kertas-kertas akademik, sunnguhpun saya meyakini usaha tersebut menyumbang sebahagian besar dalam pembangunan akal. Pun begitu, perlu untuk kita sedar bahawa kehidupan itu adalah suatu perjalanan ‘give and take’. Bagi memperoleh kehidupan, perlu untuk kita memberi kehidupan, berkongsi nikmat kehidupan. Tidak sekadar meluangkan waktu untuk kejayaan dan kesenangan diri kita sahaja.

Jika ada yang bertanyakan, “Kalau aku ini, yang belajar dan tak faham apa-apa. Dan pergi kelas semata mata untuk cukupkan syarat. Jadi, kau rasa aku patut berhenti belajar ke?”. Jawab aku, ya dan tidak. Tidak seharusnya perhentian kau itu atas sebab kau berputus asa. Sedang pembangunan akal kau masih belum sempurna. Dan, ya kau perlu berhenti.
Tetapi berhenti dari melihat ketidakfahaman itu sebagai suatu yang menyedihkan. Sebaliknya, usaha dan kesungguhan yang kau letakkan itu nanti yang akan menjadi sebahagian perjalan kehidupan yang perlu untuk kau banggakan.

Begitulah perjuangan membina kehidupan. Kehidupan yang bila ditoleh saat dihujung nanti, kita akan tersenyum dan lapang hati untuk terus berkongsi.

* Penulis adalah Aktivis Belia Harmoni Pantai Dalam