Pasca PRK Kimanis: PH perlu rombak Kabinet, kata penganalisis

Pasca PRK Kimanis: PH perlu rombak Kabinet, kata penganalisis

Rombakan Kabinet perlu segera dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) demi menangkis tanggapan negatif rakyat terhadap kerajaan, saran penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, keputusan mengejut yang menyaksikan kekalahan PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis disifatkan berpunca dari faktor pertelingkahan dalaman antara komponen parti.

Beliau berpendapat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan menerima kesan biarpun sehingga tempoh tiga tahun akan datang jika situasi negatif bahawa PH meminggirkan rakyat tidak diperbetulkan.

“Paling utama adalah kerajaan perlu memulakan tanggungjawab mengurus negara dengan cekap yang hanya boleh dilakukan dengan setiap kementerian diterajui menteri yang bersesuaian dengan kepakaran.

“Dalam erti kata lain, rombakan Kabinet perlu dilakukan segera untuk memadam persepsi negatif rakyat.

“Begitu juga persengketaan dalaman perlu dihentikan serta-merta kerana pandangan rakyat adalah ahli politik kerajaan hanya mementingkan diri sendiri sahaja tanpa peduli hal rakyat terutama dalam menghadapi kos sara hidup yang tinggi,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Semalam, calon BN Datuk Mohamad Alamin menewaskan calon Warisan, Datuk Karim Bujang dengan majoriti jauh lebih besar berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Mengulas lanjut, Dr Azmi berkata, keputusan rakyat memberikan kemenangan kepada BN menunjukkan pola politik di Sabah sudah tidak lagi tersisih dari politik di Semenanjung.

Ini kerana katanya, Umno Sabah yang sebelum ini dianggap hampir lumpuh, akhirnya menongkah pandangan tersebut dengan kemenangan BN yang memperoleh majoriti besar.

“Saya beranggapan keputusan mengejut ini lebih menjurus kepada kelemahan yang dimiliki oleh kerajaan negeri dan juga persekutuan.

“Pandangan pengundi di Semenanjung bahawa kerajaan persekutuan tidak cekap mengurus negara dan pertelingkahan dalaman yang sering tercetus dalam PH, penyebab kemenangan empat PRK kepada pembangkang merebak ke pengundi di Borneo,” ujarnya.

Justeru katanya, dalam hal ini, adalah kritikal bagi kerajaan untuk membuktikan peralihan kuasa berlaku dalam masa yang diketahui semua pihak oleh kerana pada ketika ini timbul tidak ketentuan tarikh peralihan kuasa yang dijanjikan.