Pasca PRK Rantau: Pemuda AMANAH gesa munasabah, perkemas penyampaian dasar kerajaan

Pasca PRK Rantau: Pemuda AMANAH gesa munasabah, perkemas penyampaian dasar kerajaan

Pemuda AMANAH Nasional berpendapat Pakatan Harapan (PH) perlu bermunasabah dengan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Rantau yang diumumkan semalam.

Ketuanya, Sany Hamzan berkata, jentera pilihan raya dan gerak kerja keempat-empat parti iaitu PKR, AMANAH, Bersatu dan DAP juga harus diperkemaskan kembali untuk mendepani siri PRK pada masa akan datang.

Walau bagaimanapun, Adun Taman Templer, Selangor itu berkata, pasukan jentera pilihan raya PH sudah melakukan yang terbaik sepanjang dua minggu kempen bagi calon Dr S Streram.

“Apapun, kita lebih-lebih lagi jentera PH jangan lemah semangat dan putus asa dengan kekalahan kita buat kali ketiga di Rantau ini,” pesannya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Ditanya tentang ketepatan pemilihan Dr S Streram sebagai calon PH, beliau berkata, PH tidak boleh mengkesampingkan calon-calon kaum bukan Melayu.

“Prinsip PH sebelum ini untuk kerusi Dun Rantau memang untuk meletakkan calon bukan Islam di situ. Jadi kita kekal dengan prinsip itu,” jawabnya.

Mengulas lanjut kemenangan calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan atau dikenali sebagai Tok Mat di Rantau, Sany mengakui N27 itu merupakan kerusi tradisi BN.

“Tok Mat pun sudah jadi Adun di situ sudah tiga penggal. Faktor keluarga, saudara-mara dan kawan-kawan. Itu semua memberi kelebihan kepada Tok Mat.

“Sentimen membalas budi juga kuat mempengaruhi kemenangan Tok Mat selain kita lihat sentimen kaum dan agama masih lagi dimainkan,” jelasnya.

Beliau turut berpendapat pengundi Rantau tidak mengambil kira soal parti diwakili.

“Apa yang saya lihat sebahagian besar pengundi di Rantau tidak melihat kepada parti.

“Sebaliknya mereka mengambil kira faktor batang tubuh (individu) itu sendiri yang dianggap mesra rakyat.

“Masyarakat tempatan melihat kepimpinan dan pendekatan Tok Mat itu sendiri lebih kepada penilaian pengundi terhadap parti.

“Mungkin selama ini Tok Mat ini merendah diri, servis dengan masyarakat juga baik. Ini antara faktor yang diambil kira oleh masyarakat di Rantau dalam memilih wakil mereka,” ujarnya.

Logik akal 

Mengulas lanjut, beliau berkata, pertimbangan tersebut sehingga sampai tahap tidak lagi mempedulikan banyak siri penyelewengan dan salah guna kuasa yang dilakukan BN selama menjadi parti pemerintah.

“Kebobrokan Umno-BN sama ada di peringkat nasional dan negeri yang telah dilakukan kalau diikutkan logik akal, tiada siapa mahu undi BN,” ujarnya lagi.

Zaki Sabri

Sementara itu, Ketua Pemuda AMANAH Negeri Sembilan, Zaki Sabri berkata, kekalahan PH di N27 Rantau ada dalam jangkaan.

Sehubungan itu, beliau turut berpendapat gerak kerja jentera PH perlu diperkuat dan pada masa sama sistem penyampaian prestasi kerajaan perlu diperkemaskan.

“Rakyat perlu tahu perkara baik yang kerajaan buat dengan ringkas dan mudah faham.

“Apapun jentera PH yang masih kental dan yakin pada kerajaan PH akan dapat memperbaiki sokongan dalam tahun-tahun ke depan,” ujarnya lagi ketika dihubungi Malaysia Dateline.