Malaysia Dateline

Pasca PRK Tanjung Piai: Kehadiran ‘Bossku’ bukan penyumbang kemenangan BN

Kehadiran bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, baru-baru ini dilihat bukan faktor yang menyumbang kepada kemenangan parti Barisan Nasional (BN).

Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid berkata, hasil tinjauan yang dilakukan pihaknya mendapati, kehadiran Ahli Parlimen Pekan itu tidak membawa sokongan masyarakat kepada calon BN yang bertanding pada ketika itu.

“Kita tak nampak beliau (Datuk Najib) boleh menyebabkan orang berpindah kepada parti BN. Saya merasakan ia adalah disebabkan Najib itu lebih kepada konteks ‘populariti’, tetapi bukannya dalam konteks ‘undian’.

“Najib tidak berjaya mempengaruhi pengundi-pengundi untuk menyokong BN dan orang datang hanya untuk bersuka ria dan melihat dia, tetapi tidak boleh mempengaruhi masyarakat untuk sokong BN,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline selepas Diskusi Pasca PRK Tanjung Piai: Fakta, Dimensi & Dinamik yang diadakan di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi.

Diskusi Pasca PRK Tanjung Piai: Fakta, Dimensi & Dinamik yang diadakan di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi.

Diskusi anjuran bersama Kajian Pusat Pentadbiran dan Pengajian Politik (Cent-GPS) dan Z Consulting Group (ZCG) itu turut melibatkan tiga lagi panelis iaitu, Pengarah Urusan ZCG, Prof Datuk Dr Ahamed Kameel Mydin Meera, Pengarah Program Merdeka Centre, Ibrahim ‘Ben’ Suffian dan Dr Choong Pui Yee daripada Institute of Strategic Analysis and Policy Research (Insap).

Ditanya apakah faktor yang menyumbang kepada kemenangan parti BN tempoh hari, Hamidin berpendapat ia adalah disebabkan oleh calon yang diletakkan parti itu sendiri.

“Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng sangat memainkan peranan beliau sebagai calon dalam PRK yang lalu. Keduanya adalah, BN ini kekuatannya memang daripada peringat akar umbi lagi terutamanya dari negeri Johor.

“Walaupun undi beralih kepada PH, namun kesetiaan kepada BN itu sebenarnya masih lagi ada. Maknanya, pada peringkat awal, undi itu lari kerana masalah dari Putrajaya (masalah Najib), bukannya masalah di Johor dan PRK ini juga lebih bersifat negeri.

“Saya merasakan punca utama kekalahan adalah, parti PH itu sendiri gagal di peringkat persekutuan dan negeri.

“PH gagal dalam dua perkara iaitu daripada segi ekonomi dan penyampaian dasar. Saya rasa mereka gagal melakukan perkara tersebut dan ini memberi peluang kepada BN untuk menunjukkan kelemahan PH dengan membawa calon yang sudah dipercayai oleh rakyat di Tanjung Piai,” ujarnya lagi.

Sabtu lalu, Malaysia Dateline melaporkan BN membuat kejutan besar apabila merampas semula kerusi Parlimen P.165 Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi.

Calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng yang juga Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu meraih 25,466 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan penghujung Benua Asia itu.

Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal bermula 2008 itu menewaskan pencabar utamanya, Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi.

Sementara itu, calon Gerakan yang diwakili Wendy Subramaniam mendapat 1,707 undi; calon Berjasa, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (850 undi) serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock (380 undi) dan Faridah Aryani Abd Ghaffar dengan 32 undi.

Dalam pertembungan tiga penjuru pada PRU-14 tahun lalu, Wee mendapat 20,731 undi, Nordin Othman dari Pas (2,962 undi) manakala Allahyarham Dr Md Farid yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai memperoleh 21,255 undi iaitu menang dengan majoriti tipis 524 undi.

PRK Tanjung Piai ialah PRK yang kesembilan, selepas PRU-14 pada 9 Mei tahun lalu.

PRK sebelum ini di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia, Semenyih dan Rantau, manakala PRK bagi kawasan Parlimen pula ialah Cameron Highlands, Port Dickson dan Sandakan.