Pasca PRK Tanjung Piai: ‘Orang miskin, orang kaya otak tak sama’

Pasca PRK Tanjung Piai: ‘Orang miskin, orang kaya otak tak sama’

Dari laluan pejalan kaki di Jalan Delima 12, Pusat Perdagangan Pontian, seorang lelaki berusia lebih separuh abad dilihat tekun membaca akhbar pagi tadi.

Diselaknya helaian demi helaian suratkhabar berbahasa Cina di atas meja batu itu. Dia sekali-sekala menggelengkan kepala menatap muka akhbar didominasi gambar detik-detik kemenangan calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng semalam.

Sejurus disapa Malaysia Dateline, dia mempelawa penulis duduk di bangku di hadapannya. Angin nyaman Selat Melaka menghembus serentak dia menghela nafas panjang.

“Orang miskin, orang kaya otak tak sama. Orang kaya tahu undi kerajaan, barulah duit turun (projek pembangunan),” jawabnya apabila ditanya sebab pengundi Cina ‘terlajak’ memberi kemenangan besar kepada parti pembangkang.

Ah Keat tekun membaca laporan keputusan PRK Tanjung Piai.

Hanya mahu dikenali sebagai Ah Keat, 56, beliau berpendapat masyarakat di penghujung selatan Benua Asia itu seolah-olah menolak pelbagai projek pembangunan yang sedang menanti mereka.

“Itu kerajaan PH saja boleh buat itu taruh (mengetar) jalan, buat jeti. Dia (kerajaan PH) ada wang. Wee (Jeck Seng) itu pembangkang,” keluhnya lagi sambil menyelak helaian akhbar itu lagi.

Walau bagaimanapun, pengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Cheow Min itu mengakui rata-rata masyarakat di kawasan luar bandar yang berpendapatan rendah tertekan dengan perubahan polisi di bawah kerajaan PH.

Beliau memberitahu bukan sedikit rakan-rakannya yang juga pengundi di Parlimen Tanjung Piai sudah lama mengeluh tentang pemotongan insentif kerajaan yang mereka nikmati ketika BN memerintah.

Paling ketara, jelasnya, pengurangan jumlah Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSH) berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

 

Masyarakat Cina di Tanjung Piai menolak PH walaupun pada PRU-14 ramai menolak BN.

“Sekarang hidup makin susah. Barang makan pun banyak naik. Saya dulu pun tangkap ikan. Bila kita sudah tua, bahaya turun laut.

“Tapi dulu apa pasal BR1M itu Najib kasi banyak. Ini zaman Mahathir kasi potong?” soalnya mewakili suara rakan-rakannya.

Ah Keat salah seorang daripada 22,000 pengundi Cina iaitu 41.52 peratus daripada keseluruhan pengundi di Tanjung Piai.

Beliau juga antara 52,986 pengundi yang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai semalam.

Keputusan menyaksikan peratusan tinggi undi Cina di Parlimen itu bagaimanapun tidak memberi kelebihan kepada PH.

Hal ini termasuk dalam pusat daerah mengundi (PDM) di kerusi DUN Pekan Nanas, yang pada masa ini wakil rakyatnya ialah Yeo Tung Siong dari DAP.

PH ditolak di semua pusat daerah mengundi (PDM) berbanding pada PRU-14, menang 11 daripada 27 PDM.

Pada PRU-14, PH menerusi Bersatu menguasai 64 peratus sokongan pengundi Cina berbanding 32 peratus dipungut MCA.

Namun, kekalahan PH dalam PRK pasca Muafakat Nasional melibatkan Umno dan Pas itu terlebih dahulu telah dijangkakan agensi perundingan, Ilham Center.

Turut sama Institut Strategi dan Integriti Terengganu (TSIS) dan firma milik MCA, Industrial Skills Enhancement Programme (Insep).

Walau bagaimanapun, rata-rata badan-badan penyelidik itu meramalkan BN akan menang selesa sekitar 4,000 hingga 7,000 undi majoriti.

Kedai runcit di Tanjung Piai.